Anda di sini

Armada BERSATU Bahagian Beaufort tekad sokong calon GRS dalam PRU-15

Advertisement
MOHD SHAHRIL OSIN
MOHD SHAHRIL OSIN



BEAUFORT: Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Beaufort kini bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang dijangka diadakan pada bila-bila masa.


Ketua Armada BERSATU Bahagian Beaufort, Mohd Shahril Osin (gambar) berkata, sayap itu bukan sahaja bersedia malah tekad untuk menyokong siapa sahaja calon daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang akan bertanding di Kerusi Parlimen Beaufort.


Beliau turut yakin para pengundi akan menzahirkan sokongan kepada GRS dalam PRU-15 nanti kerana kerajaan yang ada pada hari ini yang dipimpin GRS amat mengutamakan rakyat Sabah.


Shahril juga percaya persefahaman diantara parti-parti dalam GRS akan membuahkan hasil yang lebih baik sekaligus memberi manfaat kepada seluruh lapisan rakyat di negeri ini.


"Saya yakin rakyat mahu melihat kepimpinan kerajaan yang mengutamakan rakyat dalam pelbagai aspek seperti yang dilakukan oleh kerajaan negeri pada ketika ini, " katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita bagi mengulas kenyataan Timbalan Ketua Bahagian BERSATU Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun yang meminta semua Ketua-Ketua Bahagian untuk menghantar nama yang mahu dicalonkan dalam PRU kepada BERSATU Sabah.


Masidi memberitahu, setiap bahagian sudah diminta menghantar nama calon namun soal bertanding atau tidak, ia bergantung kepada rundingan mengenai agihan kerusi.


Dalam perkembangan berkaitan, Shahril turut memberitahu, Armada BERSATU Beaufort kini sedang giat mendekati anak-anak muda khususnya golongan pengundi baharu bagi menyampaikan mesej-mesej kerajaan serta manfaat yang telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri khusus untuk anak-anak muda.


Ini penting kerana Armada mahu golongan pengundi baharu terutama anak-anak muda mengetahui perkembangan politik semasa dan juga segala perancangan yang akan datang, yang jelas memberi manfaat kepada semua rakyat di negeri ini.


"Kini rakyat sudah mula menilai siapa yang terbaik untuk mengangkat suara mereka. Justeru itu, kita akan terus bergerak untuk memberitahu kepada masyarakat bahawa kita sudah berada di landasan yang tepat.


"Saya yakin dan percaya, pendekatan yang telah dilakukan Armada BERSATU Bahagian Beaufort ini akan memberi kelebihan kepada siapa saja yang mendapat mandat sebagai calon untuk mewakili GRS pada PRU akan datang, " katanya.

  • oleh
  • Advertisement