Anda di sini

Utamakan kebersihan, kerjasama kekang HFMD

Advertisement
Para peserta merakamkan kenangan bersama Tiong (duduk tengah), Dr Melvin (dua kiri) dan tetamu lain pada Sesi Townhall HFMD Peringkat Bahagian Bintulu, hari ini.
Para peserta merakamkan kenangan bersama Tiong (duduk tengah), Dr Melvin (dua kiri) dan tetamu lain pada Sesi Townhall HFMD Peringkat Bahagian Bintulu, hari ini.

BINTULU: Semua pihak perlu bekerjasama dalam usaha mengekang penularan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dalam kalangan kanak-kanak dengan memberikan keutamaan penuh kepada aspek kebersihan.

Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing berkata, pada tahun 1997, Malaysia dikejutkan dengan wabak HFMD di Sarawak yang melibatkan 2,628 kes serta 31 kematian yang mana 29 daripadanya disahkan disebabkan oleh Enterovirus 71(EV 71).

Katanya, berdasarkan sistem survelan HFMD di Malaysia, tidak ada trend tertentu di negeri-negeri Semenanjung Malaysia dan Sabah, namun di Sarawak peningkatan kes HFMD yang melibatkan jangkitan EV 71 mempunyai trend kitaran dengan kemuncak setiap tiga tahun dalam kalangan kanak-kanak.

Tiong yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke Republik Rakyat China berkata, meskipun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengisytiharkan HFMD sebagai endemik di negara ini dan telah mengarahkan penutupan secara berkala tadika dan sekolah terjejas yang kemungkinan menjadi kawasan sumber penyakit itu, tetapi aspek kebersihan dan penjagaan kesihatan tidak harus diabaikan.

"Mana-mana pengusaha taman permainan kanak-kanak luar dan dalam, tadika, tabika, prasekolah dan pusat jagaan kanak-kanak perlu sama-sama bertanggungjawab dalam memastikan persekitaran premis mereka bersih," ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Sesi Townhall HFMD Peringkat Bahagian Bintulu anjuran Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu di Auditorium Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) Wisma Bintulu di sini, hari ini.

Pada masa sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong itu menyeru agar semua pihak memberikan pendedahan dan pendidikan mengenai kepentingan amalan menjaga kebersihan dalam kalangan kanak-kanak.

Katanya, aspek kebersihan berkaitan prosedur operasi standard (SOP) wajar diberi keutamaan dalam mendidik anak-anak.

Selain itu, beliau meminta Pejabat Pendidikan Daerah Bintulu bekerjasama dengan Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu untuk memberikan pendidikan tentang kepentingan menjaga kebersihan dalam kanak-kanak yang wajar bermula di awal usia.

Tambahnya, Pegawai Kesihatan Bintulu Dr Melvin Chung turut diminta bekerjasama dengan Jabatan Penerangan bagi menjalankan kempen pendidikan kebersihan berkaitan HFMD untuk penduduk khususnya di kawasan luar bandar dan beliau sedia membantu dengan menyediakan sebuah bas untuk program tersebut.

"Saya minta Dr Melvin berhubung pegawai khas di Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Bintulu untuk membincangkan perkara ini," katanya sambil menyeru semua agensi di Bintulu bekerja sebagai sebuah pasukan dengan harapan Bintulu dapat mencapai status bandar bersih dan aman. 

Hadir sama Pegawai Kesihatan Bintulu Dr Melvin Chung, Pegawai Daerah Bintulu Muhammad Dino Amid, Pegawai Pendidikan Daerah Bintulu Samri Suhaili dan Pegawai Pendidikan Kesihatan Ezra Hipni yang mewakili Pengarah Hospital Bintulu.
 

  • oleh
  • Advertisement