Anda di sini

UMNO Kalabakan belum putuskan lima calon PRU-15

Advertisement

TAWAU: UMNO Kalabakan belum putuskan lima nama calon yang akan dihantar untuk diketengahkan pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) akan datang.

Ketua Bahagian UMNO Kalabakan, Andi Muhammad Suryady Bandy berkata pihaknya akan bermesyuarat di peringkat bahagian untuk memutuskan nama-nama calon tersebut.

“Kita akan hantar senarai lima nama calon tersebut kepada Badan Perhubungan UMNO Sabah untuk penilaian awal seperti yang diminta oleh pemimpin atasan.

“UMNO Kalabakan akan bermesyuarat minggu hadapan dan memilih mereka yang dilihat memenuhi kriteria seorang pemimpin sebelum tarikh yang ditetapkan,” katanya.

Beliau yang juga Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah berkata demikian ketika ditemui dalam majlis pelancaran ‘Kembara Keluarga Malaysia 2022 negeri Sabah, di sini hari ini.

Menurutnya, sebelum ini, semua bahagian sudah hantar senarai nama calon tahun lalu, namun dalam mesyuarat khas Badan Perhubungan baru-baru ini, pengerusi mahukan lima senarai terkini lagi.

“Pandangan saya, pengerusi mahukan calon yang sesuai dengan keadaan sekarang dan menilai calon yang betu-betul boleh menang,” katanya.

Ditanya mengenai samada nama beliau masuk dalam senarai yang akan dihantar, katanya terpulang dalam mesyuarat peringkat bahagian nanti.

“Terlalu awal untuk saya komen senarai nama yang akan dihantar, kita tunggu mesyuarat itu nanti, tetapi pastinya calon itu perlu memenuhi kriteria yang ditetapkan,” katanya.

Terdahulu, Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin, baru-baru ini meminta semua bahagian UMNO mengemukakan segera lima senarai calon untuk diketengahkan pada PRU-15.

Bung mahukan senarai itu, samada mempunyai kedudukan dalam bahagian atau tidak perlu mempunyai kewibawaan dan boleh diterima rakyat.

Senarai itu akan dinilai oleh satu jawatankuasa khas berdasarkan kepada maklum balas rakyat peringkat akar umbi.

  • oleh
  • Advertisement