Anda di sini

Tindakan terhadap pemilik biar anjing peliharaan berkeliaran dikaji

Advertisement
Tiang (kanan) pada majlis perasmian Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Peringkat Bahagian Sibu di Wisma Sanyan bersama Wong (kiri) dan Dr Teh.
Tiang (kanan) pada majlis perasmian Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Peringkat Bahagian Sibu di Wisma Sanyan bersama Wong (kiri) dan Dr Teh.

SIBU: Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan mengkaji peruntukan undang-undang sedia ada bagi menghalang serta mengambil tindakan terhadap pemilik anjing yang membiarkan haiwan peliharaan mereka itu bebas berkeliaran di kawasan luar rumah.

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Michael Tiang berkata, perbuatan membiarkan anjing peliharaan bebas berkeliaran di luar kawasan rumah boleh mendatangkan bahaya kepada orang awam, terutama di Sibu.

"Sibu masih lagi mencatatkan kes rabies yang tinggi berbanding kawasan-kawasan lain di Sarawak. Oleh itu, semakan undang-undang yang ada ini amat penting agar pemilik tidak lagi membiarkan haiwan peliharaaan mereka bebas berkeliaran," ujarnya kepada pemberita selepas merasmikan Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Peringkat Bahagian Sibu di ruang legar Wisma Sanyan di sini, hari ini.

Menurut Tiang, pihak kementerian telah menyuarakan perkara tersebut pada mesyuarat Julai lepas dan akan memberi peluang kepada pasukan perundangan kementerian mengkaji mengenai pindaan dan aspek pengkuatkuasaan yang boleh dilakukan.

"Selepas pasukan perundangan ini membuat cadangan, kita akan bentang pada mesyuarat seterusnya. Kita akan kaji dan bincang selanjutnya selepas itu," jelasnya. 
  
ADUN Pelawan itu berkata, selain pengkuatkuasaan, aspek pendidikan juga amat penting di mana kesedaran orang ramai penting terutama pemilik anjing mengenai bahaya jika membiarkan anjing peliharaan mereka itu bebas berkeliaran di luar kawasan rumah.

Setiap pemilik anjing katanya, harus memikul tanggungjawab yang berat dan perlu diberi peringatan dari semasa ke semasa. 

Sementara dalam ucapan perasmian ANMS, Tiang berkata, Jelajah ANMS yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia bertujuan mengajak rakyat Malaysia agar sentiasa sihat sejahtera dengan mengamalkan cara hidup sihat yang dapat dicapai dengan melakukan aktiviti fizikal dan beriadah, makan secara sihat dan seimbang, bijak menangani stres, tidak merokok dan menjaga kebersihan persekitaran.

"Kita bukan hanya mahu sihat dari segi fizikal tetapi juga sihat dan sejahtera dari segi mental," ujarnya.

Menurut Tiang, ANMS bertujuan mempromosikan pembudayaan hidup sihat untuk kesejahteraan kesihatan dan menyediakan persekitaran yang menyokong kesejahteraan kesihatan.

"Jelajah ini juga bertujuan memperkasa rakyat dalam kawalan kesihatan kendiri dan memperkukuh kerjasama dalam kalangan rakan startegik untuk mencapai kesejahteraan kesihatan.

"Sesungguhnya nyawa manusia amat tinggi nilainya dan itulah komitmen pihak Kementerian Kesihatan Malaysia yang akan terus berusaha memastikan perkhidmatan terbaik dalam penjagaan kesihatan agar dapat disampaikan kepada segenap peringkat masyarakat hingga ke akar umbi," jelasnya.

Tiang memberitahu, negara kini sedang berada dalam fasa peralihan ke endemik COVID-19, di mana banyak prosedur operasi standard (SOP) telah dilonggarkan dan rakyat telah mula dapat menikmati kehidupan seperti dulu.

Sungguhpun begitu katanya, masih ada lagi SOP yang dikekalkan dan perlu dipatuhi seperti pemakaian pelitup muka dalam tempat tertutup atau bangunan.

"Saya menyeru kepada semua penduduk Bahagian Sibu khususnya, patuhilah SOP yang ditetapkan untuk kita terus mengelakkan daripada jangkitan COVID-19 ini," ujat beliau.

Hadir sama Residen Bahagian Sibu Wong Hie Sieng, Pegawai Kesihatan Bahagian Sibu Dr Teh Jo Hun serta yang lain.
 

  • oleh
  • Advertisement