Anda di sini

Terus buktikan kemampuan diri: Robert

Advertisement
 Robert merakamkan gambar kenangan bersama sebahagian pelajar serta guru sempena majlis itu.
ALBUM: Robert merakamkan gambar kenangan bersama sebahagian pelajar serta guru sempena majlis itu.



KENINGAU: Faktor kejayaan seseorang pelajar amat bergantung dengan kesungguhan yang ada dalam diri masing-masing, kata Pembantu Menteri Kerja Raya Datuk Robert Tawik.


Selain itu jelas Robert, sikap membaca dan berfikir juga memainkan peranan yang cukup besar kerana sikap itu dapat membentuk habit positif yang diyakini memberi impak yang besar di masa hadapan.


"Sentiasalah mendorong anak-anak kita berfikir, dan sentiasalah menggalakkan mereka membaca kerana kedua-dua gabungan ini dapat membentuk semangat untuk terus menuntut ilmu.


"Saya juga berharap agar ibubapa terus prihatin dan mengambil berat terhadap pendidikan anak-anak kerana perkara ini bukanlah terletak pada usaha dan kesungguhan guru semata-mata.


"Guru umpama 'lilin yang membakar diri' dan ibu bapa mencorakkan masa depan anak-anak masing-masing. Rumah ialah sekolah sepanjang hayat dan ibu bapa ialah pendidik seumur hidup kepada anak-anak kita, " katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Hari Apresiasi Kecemerlangan Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bingkor 2021.


Dalam perkembangan sama, Robert yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor berharap para pelajar yang ada pada hari ini dapat membuktikan kemampuan diri dengan meneruskan kejayaan ke tahap yang lebih gemilang.


"Berusahalah dengan lebih gigih berbekalkan ilmu yang dicurahkan oleh guru-guru untuk memperoleh kejayaan dan seterusnya mengharumkan nama sekolah.


"Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada para pelajar yang akan menerima hadiah atas pencapaian mereka dan diharapkan pencapaian kecemerlangan tersebut tidak berakhir di sini sahaja.


"Teruskanlah kecemerlangan itu sampai bila-bila. Segala kejayaan ini tidak seharusnya melekakan kita.Lakukan inovasi dan berusaha untuk melangkaui sempadan kecemerlangan.


"Kepada para pelajar yang tidak menerima hadiah, janganlah kecewa tetapi ingatlah pesanan saya ini. Untuk menjadi seorang pelajar yang cemerlang, kita harus mempunyai sikap rajin berusaha dan tidak mudah berputus asa.


"Berpeganglah pada prinsip alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan, " katanya.

Advertisement