
SIBU: Seorang suri rumah mengalami kerugian RM10,600 gara-gara penipuan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata, pada 6 Ogos lalu mangsa menerima SMS melalui telefon bimbitnya yang mendakwa akaun banknya tidak normal.
"Untuk memulihkan akaun banknya, SMS itu menyatakan bahawa dia perlu menekan pada pautan dalam SMS itu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Zulkipli berkata, pengadu bertindak log masuk ke pautan yang diberikan dan memasukkan kata pengenalan akaun bank serta kata laluannya.
"Bagaimanapun, apabila dia log masuk ke akaun banknya pada 12 Ogos, dia mendapati RM10,600 miliknya telah dipindahkan ke akaun yang tidak dikenali," jelasnya.
Dalam kes berasingan, seorang ahli perniagaan mendakwa ditipu sebanyak RM10,000 akibat pinjaman dalam talian yang tidak wujud.
Zulkipli berkata, pihaknya dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial IPD Sibu menerima laporan polis daripada pengadu yang mendakwa dia ditipu oleh seorang lelaki yang menyamar sebagai ejen sebuah syarikat pinjaman wang.
"Mangsa telah memindahkan RM10,000 kepada suspek untuk tujuan pemprosesan pinjaman dan dijanjikan wang itu akan dikembalikan kepadanya sebaik pinjaman diluluskan," jelasnya.
Bagaimanapun, mangsa menyedari dia telah ditipu apabila suspek memaksanya untuk membuat pelbagai bayaran caj lain yang tidak munasabah.
Sehubungan itu, Zulkipli menasihatkan orang ramai supaya tidak menekan sebarang pautan daripada mana-mana orang yang tidak dikenali melalui SMS.
"Orang ramai juga dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dengan modus operandi penipu agar tidak menjadi mangsa," katanya.