Anda di sini

Penduduk Tawau diseru kibar bendera Malaysia

Advertisement
 Suryady (kanan) dan Joseph semasa melepaskan Konvoi Kembara Keluarga Malaysia 2022, di Dataran MPT.
KONVOI: Suryady (kanan) dan Joseph semasa melepaskan Konvoi Kembara Keluarga Malaysia 2022, di Dataran MPT.

TAWAU: Penduduk di daerah Tawau diminta untuk menyahut seruan kerajaan supaya mengibarkan bendera Malaysia sempena menyambut bulan kemerdekaan negara tahun ini.

Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Andi Muhammad Suryady Bandy berkata pelbagai program yang telah dijalankan oleh agensi kerajaan bagi memeriahkan sambutan bulan kemerdekaan kali ini.

Katanya, semua rakyat diminta bersama-sama menyokong program yang akan dijalankan bagi menyemai semangat patriotisme dan nasionalisme dalam diri masing-masing.

“Kita harus bersyukur dan berbangga menjadi sebahagian daripada rakyat negara berdaulat yang aman tanpa sebarang penjajahan pihak luar.

“Justeru, sebagai menzahirkan rasa kesyukuran diatas nikmat kemerdekaan, semua penduduk di daerah ini dapat mengibarkan bendera kebangsaan di rumah dan premis masing-masing sepanjang bulan ini,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu berkata demikian dalam majlis pelancaran ‘Kembara Keluarga Malaysia 2022 negeri Sabah, di sini hari ini.

Menurutnya, program kembara yang disertai oleh 11 agensi kerajaan ini diharapkan dapat menyampaikan mesej kepada seluruh rakyat Sabah untuk mengibarkan Jalur Gemilang.

“Tahniah kepada semua agensi terlibat terutamanya Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Sabah atas usaha menggelorakan sambutan bulan kemerdekaan tahun ini.

“Semangat ini harus dipuji kerana usaha mereka menjayakan mesej perpaduan, patriotisme dan menerapkan keamanan dalam kalangan rakyat khususnya di negeri Sabah,” katanya.

 Suryady menandatangani buku Konvoi Kembara Keluarga Malaysia 2022.
TANDATANGAN: Suryady menandatangani buku Konvoi Kembara Keluarga Malaysia 2022.

Dalam pada itu, Suryady berkata pihaknya juga sudah menjalankan program-program sempena bulan kemerdekaan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Batu tahun ini.

“Kami sudah menjalankan program itu di Kampung Tanjung Batu Darat dan Laut. Program itu akan diteruskan di kampung lain sepanjang bulan ini.

“Selain itu, kita juga mengadakan pertandingan bendera terpanjang terbuka penduduk Tawau untuk memecahkan rekod bendera sepanjang 1.5 kilometer sebelum ini,” katanya.

Turut hadir, Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Joseph Pang;  Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisiner Jasmin Hussin, Ketua Daerah Tawau, Kee Jamal Kee Sulaiman; Ketua Konvoi Kembara Merdeka, Razif Hashim dan Pegawai Penerangan Tawau, Azuary Abdul Azis.

  • oleh
  • Advertisement