Anda di sini

Operasi KPDNHEP periksa 55 premis di Sarikei, Bintangor, Jakar dan Selalang

Advertisement
Anggota penguat kuasa KPDNHEP melakukan operasi bersepadu di beberapa premis perniagaan di sekitar Sarikei.
Anggota penguat kuasa KPDNHEP melakukan operasi bersepadu di beberapa premis perniagaan di sekitar Sarikei.

SARIKEI: Sebanyak 55 premis perniagaan diperiksa dalam Ops Bersepadu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di  Sarikei, Bintangor, Jakar dan Selalang selama dua hari pada 11 dan 12 Ogos lalu.

Ketua Pejabat KPDNHEP Cawangan Sarikei Mohamad Zawawi berkata, operasi itu melibatkan kerjasama Pejabat KPDNHEP Sarikei dan KPDNHEP Sarawak.

"Sebanyak lapan kes berjaya direkodkan hasil operasi dengan nilai kompaun sejumlah RM1,600 serta nilai rampasan RM1,544.90.

"Operasi melibatkan kekuatan seramai 20 pegawai penguat kuasa dari KPDNHEP Sibu, Sarikei, Mukah dan Sri Aman," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohamad berkata, operasi itu memantapkan tindakan penguatkuasaan undang-undang diperuntukkan, di samping meluaskan skop sasaran pemeriksaan di kawasan bandar dan luar bandar.

Katanya, dengan melibatkan ramai pegawai penguat kuasa dari pelbagai cawangan, pemeriksaan dan penguatkuasaaan dapat dilakukan secara lebih telus dan berintegriti.

"Untuk rekod dari Januari hingga 12 Ogos 2022, KPDNHEP Sarikei menjalankan pemeriksaan ke atas 4,539 premis merangkumi bandar dan luar bandar. 

"Sebanyak 62 kes dihasilkan di bawah pelbagai kesalahan dengan nilai kompaun RM54,000 dan nilai rampasan RM48,525.45.

"Kita ingin mengingatkan semua peniaga agar mematuhi undang-undang yang dikuatkuasakan oleh KPDNHEP dan beretika dalam perniagaan, manakala pengguna mesti mengetahui hak dan tanggungjawab mereka," jelasnya.

Katanya, kementerian menyediakan pelbagai medium penyaluran aduan bagi memudahkan pengguna mengemukakan aduan berkaitan isu harga atau apa juga isu berkaitan kepenggunaan dan perniagaan. 
 

  • oleh
  • Advertisement