Anda di sini

Golongan sasar di Kg Tibabar terima sumbangan bakul makanan, kewangan

Advertisement
 Lawrence (tengah), Terence (empat kanan), Justin (lima kanan) dan beberapa penduduk Kg Tibabar Tambunan yang menerima sumbangan Dr Jeffrey menunjukkan isyarat 'bagus'.
BAGUS: Lawrence (tengah), Terence (empat kanan), Justin (lima kanan) dan beberapa penduduk Kg Tibabar Tambunan yang menerima sumbangan Dr Jeffrey menunjukkan isyarat 'bagus'.



TAMBUNAN: Ketua Penyelaras Parlimen Keningau bersama Pejabat Wakil Rakyat Keningau serta Ahli Jawatankuasa (AJK) STAR Bahagian Keningau telah melaksanakan program turun padang 'Prihatin Kasih' dengan menyantuni golongan memerlukan di Kampung Tibabar, dekat sini baru-baru ini.


Program Prihatin Kasih itu mensasarkan untuk menyantuni golongan warga emas, orang sakit dan Orang Kelainan Upaya (OKU) di Kg Tibabar, dengan mengagihkan bakul makanan dan juga bantuan kewangan.


Seramai 10 orang penerima bantuan telah menerima sumbangan daripada Ahli Parlimen Keningau, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan yang disampaikan oleh Ketua Penyelaras Parlimen  Keningau Datuk Lawrence Gimbang.


Salah seorang penerima sumbangan, Anding Laab ketika ditemui menzahirkan rasa syukur atas keprihatinan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambunan itu (Dr Jeffrey) yang sentiasa peka dengan golongan sepertinya.


Anding pada ketika ini mengalami penyakit yang menyebabkan kedua belah kakinya membengkak dan merumitkan pergerakan secara normal, amat terharu dengan keprihatinan wakil rakyat terhadap mereka yang memerlukan perhatian.  


Beliau turut berkongsi kesukaran yang dilaluinya setiap kali apabila perlu mendapatkan pemeriksaan di hospital, yang mana beliau terpaksa menyewa kenderaan untuk urusan itu dan ianya serba sedikit memerlukan perbelanjaan kewangan.


Dalam masa yang sama, Setiausaha Bahagian STAR Sabah Tambunan Justin Yonsoding merangkap Setiausaha Perhubungan Awam kepada Menteri Pertanian dan Perikanan sempat meluangkan masa bersama sekumpulan Gen-Y yang sedang bermain bola tampar.


Satu set jaring dan bola akan disumbangkan kepada mereka dalam masa terdekat bagi membolehkan mereka melaksanakan kegiatan sukan pada masa akan datang.


Turut sama Pegawai Pembangunan Daerah (DDO) Tambunan, Terence Yong; Ahli Majlis Daerah Christopher Podtung; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kemajuan Kampung (JPKK) Kg Tibabar, Raymond Anthony dan biro-bironya serta beberapa penduduk setempat.

  • oleh
  • Advertisement