Anda di sini

BAHASA anjur PEA 2022

Advertisement
 Jasni, bersama Jasmi, Aminah dan semua jawatankuasa pelaksana Festival Puisi Esei Antarabangsa bergambar kenangan selepas mesyuarat berkenaan.
KENANGAN: Jasni, bersama Jasmi, Aminah dan semua jawatankuasa pelaksana Festival Puisi Esei Antarabangsa bergambar kenangan selepas mesyuarat berkenaan.

KOTA KINABALU: Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) akan menganjurkan Festival Puisi Esei Antarabangsa (PEA 2022) buat julung kali.

Presiden BAHASA Datuk Jasni Matlani berkata, ianya akan diadakan pada 23 sehingga 25 September 2022.

"Walaupun BAHASA pernah menganjurkan beberapa pertemuan dan seminar puisi esei bermula tahun 2017, tetapi seminar atau pertemuan itu adalah sebahagian daripada pengisian acara sempena Festival Penulis Sabah yang diadakan ketika itu. 

"Festival Penulis Sabah adalah program tahunan anjuran BAHASA Sejak tahun 2012 yang menyelitkan seminar atau pelbagai kegiatan lain berkaitan puisi esei sebagai salah satu acara pengisian festival berkenaan.

"Tetapi tahun ini BAHASA menganjurkan Festival Puisi Esei yang mandiri. Ertinya sebagai satu Festival Sastera tersendiri yang baharu di Sabah dan bertaraf Antarabangsa," katanya dalam sidang media selepas hadir pada Mesyuarat Khas Festival Puisi Esei Antarabangsa 2022 baru-baru ini.

Katanya, acara itu dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Sabah (JKKN Sabah), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Jabatan Pendidikan Sabah. 

"Turut berkolaborasi menjayakan program festival ini ialah Komunitas Puisi Esei ASEAN, GAPENA, Sekolah Indonesia Kota Kinabalu, Sekolah Maktab Sabah dan Sekolah Berprestasi Tinggi Sri Gaya Kota Kinabalu," katanya.

Selain itu katanya, acara itu juga akan menampilkan buat pertama kali seorang tokoh undangan khas, pengasas puisi esei dari Indonesia iaitu Denny JA. 

"Denny JA bukan saja seorang penulis yang prolifik, tetapi beliau juga seorang tokoh penulis Indonesia dan seorang calon Hadiah Nobel Kesusasteraan dari negara ASEAN pada tahun 2022," katanya.

Selain Denny, beberapa tokoh penulis, pengurus sastera, budayawan dan ahli akademik turut diundang sebagai panel forum semasa festival itu. Antaranya ialah Fatin Hamama R Syam, Agus R. Sarjono, Jamal D. Rahman, Jonminofri Nazir, dari Indonesia. Dr. Brahim  Ampuan Tengah dari Brunei DS. 

"Manakala dari Malaysia antaranya ialah Dr. Ramzah Dambul, Dr. Rahmah Abdul Ghani, S M Zakir, Dr. Hazami Jahari, Datuk Jasni Matlani, Aminah Awang Basar, Hashmin Azroy Abdullah, Siti Aisyah Mat Saad, dan beberapa orang lagi," katanya.
 

Advertisement