Anda di sini

50 penduduk Matu terima pampasan tanah RM1 juta untuk projek jalan

Advertisement
Juanda (tengah) merakamkan kenangan bersama penerima pampasan pada majlis tersebut di Matu.
Juanda (tengah) merakamkan kenangan bersama penerima pampasan pada majlis tersebut di Matu.

MUKAH: Seramai 50 penduduk Matu menerima cek pampasan tanah berjumlah RM1 juta di Pejabat Daerah Matu di sini, baru-baru ini.

Ini merupakan pampasan bagi pelaksanaan Projek Rakyat Jalan Kampung Kebuaw/Telok Deloh/Bungan Kecil yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Integriti dan Ombudsman merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng Datuk Dr Juanda Jaya.

Juanda berkata, projek pembinaan jalan sepanjang 13 kilometer itu akan memudahkan penduduk daerah Matu untuk ke Sibu, selain menghubungkan Jalan Pan Borneo.

"Ini menandakan telah bermula projek sejauh 13 kilometer daripada Kebuaw hingga Bungan Kecil.

"Kontrak projek tersebut telah diserahkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika sambutan Pesta Matu pada 8 Julai lalu," katanya.

Pada masa sama, Juanda menggesa pemilik tanah yang turut terkesan susulan projek tersebut namun belum menerima pampasan agar memaklumkan pihak berkuasa.

Selain itu, beliau menasihati penduduk kampung memberi kerjasama sepenuhnya kepada kontraktor dan agensi pelaksana bagi memastikan projek itu berjalan lancar dan mengikut jadual.

"Projek itu mengambil masa 30 bulan untuk disiapkan dan dijangka siap sepenuhnya pada September 2024," jelasnya.
 

  • oleh
  • Advertisement