Anda di sini

TICC bakal mercu tanda baharu di Tawau

Advertisement
 Masidi (dua kanan) bersama tetamu kehormat lain merasmikan majlis taklimat tersebut.
SIMBOLIK: Masidi (dua kanan) bersama tetamu kehormat lain merasmikan majlis taklimat tersebut.

TAWAU: Cadangan untuk mewujudkan Tawau International Culture Centre (TICC) di kawasan Sabindo, di sini bakal menjadi satu mercu tanda baharu bagi daerah ini sekiranya ia diluluskan oleh kerajaan negeri.

TICC yang dianggarkan menelan kos kira-kira RM20 juta itu adalah satu respon dan persediaan daerah Tawau terhadap perpindahan ibu kota Indonesia ke Kalimantan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata TICC ini adalah satu cadangan yang baik bagi meningkatkan dan menaikkan imej daerah ini.

Katanya, KKTP dan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di daerah ini menyambut baik cadangan tersebut supaya bandar Tawau dapat dimodenkan.

“Saya melihat TICC akan menjadi pusat aktiviti masyarakat Tawau dan sekitarnya, serta mampu menjana pendapatan Majlis Perbandaran Tawau (MPT).

“Kita akan bawa cadangan ini untuk pengetahuan Ketua Menteri, dengan harapan ia akan dipertimbangkan untuk dimasukkan dalam pembangunan tahun hadapan,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kewangan II Sabah berkata demikian dalam majlis taklimat cadangan pembangunan daerah Tawau di Dewan Persidangan MPT, di sini hari ini.

Menurutnya, perpindahan ibu kota Indonesia ke Kalimantan sudah hangat diperkatakan termasuklah dalam kalangan pemimpin dan meminta kerajaan melakukan sesuatu bagi menyeimbangkan pembangunan di Tawau.

“Salah satu respon kerajaan negeri adalah berusaha menyediakan kemudahan yang dapat digunakan sebagai pusat aktiviti interaksi antara masyarakat Tawau dan Indonesia.

“Sudah tiba masanya, daerah ini memainkan peranan penting untuk menghidupkan Tawau sebagai pusat aktiviti nusantara,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan akan berusaha membina jalan raya yang menghubungkan Tawau dengan sempadan Indonesia dan kemudahan lain termasuklah Pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS).

“Kita mahu kemudahan itu mampu menarik lebih ramai rakyat daripada Indonesia datang ke Tawau untuk melancong dan menjalankan urusan perniagaan.

“Justeru, kerajaan mengambil keputusan untuk memajukan bandar Tawau yang sedia ada, berbanding mahu mewujudkan satu bandar baharu di sempadan,” katanya.

Turut hadir, Pembantu Menteri I KKTP, Datuk Isnin Aliasnih; Pembantu Menteri Kewangan, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan; Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Andi Muhammad Suryady Bandy; ADUN Balung, Hamild Awang dan Timbalan Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah, Rina Jainal.

  • oleh
  • Advertisement