Anda di sini

Summer Joy Team UMS raih RM3,000 dalam IDEA@KPT

Advertisement
 Summer Joy Team UMS raih RM3,000 selepas muncul tempat ketiga dalam dua kategori.
TAHNIAH: Summer Joy Team UMS raih RM3,000 selepas muncul tempat ketiga dalam dua kategori.

KOTA KINABALU: Kumpulan Summer Joy Team dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) meraih wang tunai RM3,000 menerusi dua kategori pada Program Keusahawanan Impact Digital Entrepreneurship Apprentice @ Kementerian Pengajian Tinggi (IDEA@KPT), di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kumpulan itu yang dianggotai tiga pelajar Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) dinobatkan sebagai pemenang tempat ketiga dan meraih RM1,500 masing-masing dalam kategori Kajian Kes Poster Digital dan kategori Laporan Perancangan Perniagaan Digital.

Mereka ialah Chin Kai Sheng, Chong Kai Xin dan Rebecca Garnica, serta mentor yang juga Pensyarah Kanan FPEP, Dr. Ang Hong Loong.

Projek yang dipertandingkan merupakan kaedah penyelesaian terhadap cabaran dan pemasaran digital sebuah syarikat makanan dan minuman yang terletak di Sandakan.

Antara pencapaian projek Summer Joy Team termasuklah menyelesaikan isu sistem pesanan dalam talian menggunakan sebuah perisian pihak ketiga, di samping menyediakan syarikat dengan sistem pesanan yang lebih sistematik melalui aplikasi WhatsApp.
 
Majlis Penyampaian Hadiah disempurnakan Setiausaha Bahagian Perancangan Strategik (BPS) Norisma Mohd Ismail mewakili Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), KPT.

Untuk rekod, IDEA@KPT merupakan aktiviti yang memberi peluang dan ruang kepada pelajar bersama usahawan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) untuk mendalami ilmu pengetahuan dan kemahiran keusahawanan serta bersama meningkatkan pemasaran menerusi digital dan media sosial.

Ia merupakan sebuah program yang memanfaatkan Perdagangan Digital (Digital Commerce) kepada pelajar Universiti Awam, Politeknik, dan Kolej Komuniti dalam memberikan khidmat dan kepakaran kepada PKS yang berpotensi untuk dibangunkan ke arah pemasaran digital. 

Advertisement