Anda di sini

Penagih dadah curi kereta ditahan

Advertisement
 Kenderaan mangsa yang berjaya dirampas kembali semasa penahanan suspek.
RAMPAS: Kenderaan mangsa yang berjaya dirampas kembali semasa penahanan suspek.

KOTA MARUDU: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu melaksanakan penugasan  cemerlang selepas berjaya menahan penjenayah yang melarikan sebuah kenderaan pacuan empat roda di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu Superitendan Zairolnizal Ishak berkata suspek berjaya ditahan dalam tempoh kurang daripada 24 jam selepas kejadian pada Selasa lalu.

“Maklumat awal kejadian dikesan apabila pemilik kenderaan membuat laporan polis di IPD Kota Marudu berkenaan kenderaan jenis pacuan empat roda miliknya hilang semasa diletakkan di halaman rumahnya pada jam 10.36 pagi 9 Ogos lalu.

“Bertindak dengan laporan, siasatan Op Kesan segera dilancarkan bagi mengesan suspek,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata kenderaan terbabit berjaya dikesan pada jam 11.30 pagi 10 Ogos hasil maklumat diterima daripada orang awam yang memaklumkan terdapat kenderaan terbabas di tepi jalan Kampung Timbang Batu di sini.

“Pihak polis turut menahan seorang suspek berumur 39 tahun selain merampas kembali kenderaan mangsa yang digunakannya.

“Hasil soal siasat yang dijalankan mendapati suspek mengaku mencuri kenderaan tersebut dan siasatan lanjut juga mendedahkan suspek mempunyai rekod jenayah lampau mengikut kesalahan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 di Putrajaya.

“Ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek turut menunjukkan suspek positif dadah jenis methaphetamine,” katanya.

Beliau berkata suspek kini ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Zairolnizal juga merakamkan penghargaan kepada orang awam yang menyalurkan maklumat kepada pihak Polis.

  • oleh
  • Advertisement