Anda di sini

DFSB laksana pembinaan kilang baja-nano di Lahad Datu

Advertisement
 Bung menyaksikan Majlis Menandatangani MOU antara SLDB dan DFSB di sini.
MOU: Bung menyaksikan Majlis Menandatangani MOU antara SLDB dan DFSB di sini.

KUALA LUMPUR: Diversatech Fertilizer Sdn Bhd (DFSB) melalui kerjasama Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB) akan membangunkan Kilang Baja Teknologi Nano di tanah milik SLDB seluas 10 ekar di Silabukan, Lahad Datu Sabah. 

Pengurus Besar SLDB Syaheddrul R Joddari berkata pembinaan kilang baja-nano (Nanofertilizer) berteknologi tinggi yang seumpamanya di Malaysia ini dimaterai melalui Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) bersama Diversatech Fertilizer Sdn Bhd (DFSB).

Katanya MOU ini adalah salah satu perancangan Pelan Strategik Lembaga 2022-2026 untuk memastikan Lembaga terus kekal relevan dan berdaya saing dalam memastikan objektif membangunkan masyarakat luar bandar Sabah berasaskan pertanian terus diperjuangkan.

“Usaha ini dapat dilaksanakan melalui pembelian input pertanian seperti baja tanaman yang dapat diperolehi dengan harga berpatutan. 

“Di samping itu, ianya juga membuka ruang bagi lembaga untuk mempelbagaikan aktiviti perniagaan melalui penjualan baja tanaman kepada ladang dan petani di Sabah serta pasaran antarabangsa seperti Indonesia dan Filipina.  

“Kewujudan peluang pekerjaan kepada anak tempatan Sabah juga faedah yang akan dikecapi semasa pelaksanaan kilang baja sejajar dengan saranan Kerajaan Negeri melalui halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) selain persediaan awal SLDB untuk menjadi agensi “Food Security” di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Menandatangani MOU antara SLDB dan DFSB di sini.

Majlis disempurnakan oleh Syaheddrul dan Ketua Pegawai Eksekutif DFSB Datuk Dr Muhammad Fairus Hussain dengan disaksikan oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin dan Pengerusi SLDB Datuk Abd Ghani Mohd Yassin.

Sementara itu Muhammad Fairus berkata hubungan kerjasama yang erat ini dimulai dengan usahasama dalam bidang penyelidikan.

“Kajian dilaksanakan melalui keberkesanan produk baja premium tanaman sawit yang menggunakan Teknologi Nano keluaran DFSB yang menunjukkan peningkatan hasil lebih tinggi berbanding amalan biasa. 

“Baja teknologi nano ini juga diaplikasi hanya dua kali setahun serta efektif dalam mengurangkan serangan penyakit Ganoderma pada tanaman sawit muda,” katanya.

Tambahnya susulan itu pihak SLDB dan DFSB mendapat persetujuan usahasama untuk membangunkan kilang baja yang menggunakan Teknologi Nano ini.

“Ini sebagai Projek Perintis dan hub pertanian dalam memasarkan produk baja ini ke seluruh kepulauan Borneo termasuk Sabah, Sarawak selain dieksport ke luar negara bagi Indonesia, Brunei dan Filipina.

“Bagi mencapai sasaran sekuriti makanan negara, di mana rakyat dapat mengakses makanan secara fizikal dan ekonomi serta mencukupi bagi kehidupan yang sihat dan mampan. 

“Untuk tujuan ini, Sabah harus melangkah ke hadapan dengan mempunyai kilang baja yang moden dan dinamik bagi memenuhi keperluan baja bagi projek tanaman sawit, padi, getah, buah- buahan dan sayur-sayuran agar dapat terus memberikan hasil yang tinggi dan berkualiti bagi kegunaan dalam negeri dan eksport,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement