Anda di sini

Bot nelayan tempatan guna khidmat kru warga asing tanpa dokumen sah ditahan

Advertisement
 Bot nelayan tempatan yang ditahan selepas menggunakan khidmat kru warga asing tanpa dokumen sah.
TAHAN: Bot nelayan tempatan yang ditahan selepas menggunakan khidmat kru warga asing tanpa dokumen sah.

KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan dua buah bot nelayan tempatan yang menggunakan khidmat kru warganegara asing tanpa dokumen pengenalan diri yang sah.

Pengarah Maritim Sabah dan Labuan Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata kedua-dua bot ditahan di dua kedudukan berbeza sekitar perairan Pulau Mengalum semalam.

“Semasa pasukan Maritim Malaysia menjalankan operasi rondaan, bot pertama ditahan kira-kira jam 8.50 pagi dikedudukan sekitar 8.4 batu nautika tenggara Pulau Mengalum. 

“Hasil pemeriksaan terhadap tekong beserta kru mendapati empat kru warga Indonesia berumur 23 hingga 42 tahun serta dua orang kru etnik bajau laut anggaran umur 17 hingga 25 gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah semasa diperiksa,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tambahnya bot kedua berjaya ditahan pada jam 9.20 pagi dikedudukan sekitar 8.5 batu nautika tenggara. 

“Hasil pemeriksaan mendapati empat kru termasuk tekong warga Indonesia berumur 22 hingga 59 tahun tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah. 

“Pemeriksaan lanjut juga mendapati pemilik bot berkenaan gagal memaklumkan penukaran nakhoda kepada Jabatan Laut Malaysia,” katanya.

Beliau berkata kedua-dua bot nelayan tersebut kemudiannya diiringi masuk ke Jeti Maritim Sabah. 

“Kesemua suspek ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1956/6 serta Akta Perkapalan Saudagar 1952.

“Maritim Sabah dan Labuan mengingatkan komuniti maritim untuk terus menjadi mata dan telinga pihak berkuasa agar sebarang perlakuan jenayah terutamanya di laut dapat dikekang sepenuhnya,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement