Anda di sini

UMNO tidak akan serahkan kerusi kepada parti lain dalam PRU-15 nanti

Advertisement
SITI AMINAH ACHING
SITI AMINAH ACHING



KOTA KINABALU: Tidak ada sebab bagi UMNO untuk menyerahkan kerusi Parlimen yang dimenangi parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang, termasuklah kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), kata Timbalan Ketua UMNO Bahagian Beaufort Datuk Siti Aminah Aching (gambar).


Jelas beliau UMNO tidak akan berkompromi terhadap mana-mana kerusi yang telah dimenangi dalam Pilihan Raya Umum ke-14  (PRU-14), walaupun ada pihak termasuk BERSATU menuntut  akan mempertahankan enam kerusi Parlimen yang disandang wakil rakyat parti itu pada PRU-15 nanti.


Ketua Srikandi BERSATU Sabah, Datuk Seri Panglima Azizah Mohd Dun dalam kenyataan medianya pada Rabu lepas memberitahu, BERSATU akan mempertahankan enam kerusi iaitu Sipitang, Beluran, Libaran, Kudat, Ranau termasuk Beaufort yang didakwa sebagai kerusi BERSATU, pada PRU Ke-15 akan datang.


Menurut Siti Aminah perlu diingat enam kerusi yang dimaksudkan sebelum ini diwakili oleh UMNO dan mereka yang bertanding dan mencapai kemenangan adalah atas tiket dan sokongan ahli  UMNO.


Bagaimanapun katanya, mereka kemudiannya mengambil tindakan menyertai BERSATU walaupun tidak mendapat restu dari ahli dan rakyat di peringkat umbi.


"Tidak ada sebab kami menyerahkan kerusi-kerusi yang dimenangi oleh UMNO ini kepada parti lain pada PRU ke-15.


"Ketetapan ini bukan hanya oleh Majlis Kerja tertinggi (MKT) UMNO, tetapi ia lahir daripada suara akar umbi yang mahu UMNO menjadi dominan semula selepas PRU-15," katanya bagi mengulas kenyataan Azizah yang menegaskan parti berkenaan akan mempertahankan kerusi di enam kawasan Parlimen pada PRU Ke-15 akan datang.


Menurut Siti Aminah, UMNO sedia maklum akan ada parti lain bertanding di kawasan sama, namun menyedari ia adalah lumrah sebuah negara demokrasi.


Bagaimanapun, Siti Aminah berkata kekuatan UMNO dan akar umbinya yang bangkit tidak harus sesekali diperkecilkan.


"UMNO parti terbesar di negara ini, maka kemenangannya sangat signifikan dalam memastikan kestabilan yang kukuh.


"Dominan bukan pula bermaksud angkuh tetapi kewajipan mengembalikan UMNO sebagai sebuah parti yang menjadi teras kepada pentadbiran kerajaan," katanya.

ABDUL RAHMAN MOHD NOH
ABDUL RAHMAN MOHD NOH


Sementara itu Setiausaha UMNO Bahagian Sipitang, Abdul Rahman Mohd Noh (gambar) ketika dihubungi turut memberitahu, UMNO bahagian itu juga akan mempertahankan kerusi di kawasan tersebut yang dimenangi atas tiket UMNO sebelum ini.


Katanya, tidak ada alasan bagi parti itu menyerahkan kepada parti lain untuk bertanding di kawasan tersebut kerana umum mengetahui kerusi di kawasan tersebut sebelum ini dimiliki oleh UMNO dan demi maruah parti ianya perlu dipertahankan pada PRU Ke-15 akan datang.


“Kita telah bergerak dan mengaktifkan sebanyak 30 buah kawasan Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan jentera parti kini dalam keadaan siap siaga menghadapi PRU Ke-15 akan datang,


"Insya-Allah kita yakin UMNO dengan strategi dan gerak kerja yang telah dan sedang diatur akan mengembalikan kerajaan BN sebagai tonggak pentadbiran negara pada PRU15," katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement