Anda di sini

Sorok 600kg minyak masak bersubsidi di rumah

Advertisement

SARIKEI: Sebanyak 600 kilogram minyak masak peket 1 kilogram dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Sarikei bersama pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cawangan Khas Sarawak hasil satu serbuan ke atas sebuah rumah di Jalan Jelutong Barat.

Ketua Cawangan KPDNHEP Sarikei Mohamad Zawawi berkata, serbuan tersebut adalah hasil risikan dan maklumat yang mengesyaki rumah tersebut dijadikan tempat menyimpan minyak masak peket 1 kilogram yang tidak dilesenkan.

"Hasil serbuan itu, pihak KPDNHEP dan polis telah menemui 30 kotak minyak masak seberat 20 kilogram setiap satu kotak di dalam rumah berkenaan. Rampasan tersebut dianggarkan bernilai RM1,500," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

 

Menurut Mohamad, operasi bersama PDRM itu dilaksanakan bagi memastikan bekalan barang kawalan seperti gula, minyak masak dan tepung gandum serta barang keperluan asas mencukupi di pasaran dan mengelakkan berlakunya aktiviti penyelewengan melalui penyorokan barang-barang kawalan.

"KPDNHEP ingin memberi amaran keras kepada mana-mana individu dan syarikat agar tidak terbabit atau bersubahat dengan melakukan aktiviti penyelewengan dan menyorok barang kawalan/subsidi bagi mengelakkan dikenakan tindakan yang tegas oleh pihak berkuasa.

"Mana-mana orang yang melakukan kesalahan tersebut boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

"Manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta," katanya.

  • oleh
  • Advertisement