Anda di sini

Sarawak bakal miliki aplikasi mudahkan permohonan permit pekerja asing

Advertisement

KUCHING: Sarawak bakal mempunyai satu aplikasi mudah alih perkhidmatan data umum bagi menghapuskan birokrasi permohonan permit pekerja asing. 

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, dengan aplikasi berkenaan ia mampu memudahkan dan mempercepatkan proses permohonan permit kerja.

Beliau berkata perkara itu amat perlu memandangkan Sarawak bukan sahaja menghadapi kekurangan tenaga kerja tetapi menghadapi karenah birokrasi proses permohonan permit kerja yang rumit dan memakan masa.

"Kita mempunyai satu jawatankuasa di bawah Yang Berhormat Datuk Gerawat Gala yang akan meneliti prosedur dan pemberian permit kerja. Kita maklum pengeluaran permit kerja ini mengambil masa kerana birokrasi.

"Ia melibatkan Jabatan Imigresen, Jabatan Tenaga Kerja dan kemudian ke pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri. Maka itu apa yang perlu adalah satu platform umum atau data umum menerusi aplikasi yang boleh memproses permit kerja ini," katanya berucap pada majlis Makan Malam Tahunan dan Anugerah Kecemerlangan 2022 Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (Sheda) di sini pada Rabu malam.

Hadir sama majlis Timbalan Premier juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Dato Sri Dr Sim Kui Hian dan Presiden Sheda,Augustine Wong.

Abang Johari menyampaikan anugera kepada Rewi Bugo dari Petra Jaya Properties Sdn Bhd, yang menerima Anugerah Kecemerlangan Sheda 2022. Turut kelihatan Dr Sim.
Abang Johari menyampaikan anugerah kepada Rewi Bugo dari Petra Jaya Properties Sdn Bhd, yang menerima Anugerah Kecemerlangan Sheda 2022. Turut kelihatan Dr Sim.

Abang Johari berkata jawatankuasa yang diketuai oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala akan meneliti prosedur serta proses pengeluaran permit kerja.

Beliau berkata aplikasi itu akan berguna terutamanya bagi mereka dalam sektor pembinaan, pembuatan dan perladangan.

“Dengan pendekatan baharu ini, kami berharap tempoh untuk mengeluarkan permit kerja akan dipercepatkan, justeru kami akan membawa Sheda ke dalam jawatankuasa bagi memudahkan proses pengeluaran permit kerja terdiri daripada pembinaan, pembuatan dan perladangan,” katanya.

Beliau turut berkongsi bahawa kabinet negeri bersetuju mengeluarkan permit kerja lima tahun untuk ekspatriat profesional yang datang ke Sarawak, terutama mereka yang bekerja dalam sektor ekonomi strategik seperti tenaga dan industri digital.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, Sarawak masih boleh memperoleh hasil positif daripada cukai jualan negeri (SST) walaupun harga minyak mentah turun kepada AS$95 setong.

Katanya harga minyak mentah telah jatuh kepada AS$95 dalam dua hari lalu selepas sebelum ini pada kadar antara AS$100 dan AS$110 setong.

"Terdapat cahaya di hujung terowong kerana kita memerhatikan harga minyak dengan teliti. Bagaimanapun, pada AS$95 setong, kita masih boleh memperoleh hasil positif,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement