Anda di sini

Proses dan prosedur memohon kewarganegaraan diperhalusi 

Advertisement
Fatimah ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pusat Perubatan Tradisional dan Komplementari (TCM) Sunway dan Pusat Kesuburan Sunway di Canaan Square Business Hub, Jalan Stutong Baru di Kuching, hari ini.
Fatimah ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pusat Perubatan Tradisional dan Komplementari (TCM) Sunway dan Pusat Kesuburan Sunway di Canaan Square Business Hub, Jalan Stutong Baru di Kuching, hari ini.

KUCHING: Proses dan prosedur individu tanpa kerakyatan di Sarawak yang memohon kewarganegaraan telah diperhalusi bagi memastikan kadar kejayaan yang lebih baik.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, ia perlu mengambil masa kira-kira 37 hari daripada tarikh permohonan diterima sehingga dokumen sementara diserahkan kepada pejabat daerah (DO).

Beliau berkata, semua DO akan diberi taklimat mengenai prosedur yang diperhalusi untuk memastikan segala-galanya mesti dilakukan dengan betul pada masa permohonan.

"Sebaik sahaja penerimaan (permohonan) di pejabat daerah kita perlu jelaskan kepada mereka (DO) prosedur, bahawa apabila menerima (permohonan), mereka mesti melalui senarai semak.

"Borang itu mesti lengkap supaya kita tidak perlu kembalikan (tidak lengkap) borang.

"Semuanya mesti dibuat betul-betul di peringkat permohonan iaitu di DO.

"Selepas kita semak semula, kita dapati bermula prosedur dari DO sehingga ke pejabat SS (Setiausaha Kerajaan Negeri) yang akan mengeluarkan dokumen itu, akan mengambil masa lebih kurang 37 hari kerana kita mahu pastikan proses itu tidak mengambil masa yang lama," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Pusat Perubatan Tradisional dan Komplementari (TCM) Sunway dan Pusat Kesuburan Sunway di Canaan Square Business Hub, Jalan Stutong Baru di sini.

Fatimah berkata, kementeriannya akan mengumumkan pembukaan permohonan di DO masing-masing di seluruh negeri sebaik taklimat untuk DO dijalankan.

Beliau berkata, langkah itu akan memberi kemudahan kepada pemohon yang tidak perlu berkunjung ke kementerian untuk mengemukakan permohonan mereka.

Sebaik sahaja permohonan diterima, beliau berkata kementeriannya akan menangani urusan lain.

Menurutnya, permohonan kerakyatan pernah dihantar terus ke Putrajaya oleh pemohon sendiri.

"Tetapi kita telah membuat permintaan supaya semua borang (permohonan kewarganegaraan) ini boleh dihantar ke JPN (Jabatan Pendaftaran Negara) di semua peringkat daerah, bahagian dan negeri.

"Ini bagi membolehkan JPN menyemak borang-borang itu, dan saya tegaskan, kita mahu pastikan sebaik sahaja permohonan kerakyatan sampai ke Putrajaya, ia tidak akan ditolak kerana borang tidak lengkap.

"Kita mesti pastikan semua dokumen yang diperlukan mesti sedia," jelasnya.

Pada masa ini kata Fatimah, kementerian tidak mempunyai rekod bilangan individu tanpa kerakyatan di Sarawak.

Beliau berharap apabila prosedur yang diperhalusi dilaksanakan JPN akan dapat memantau angka tersebut.

Sebelum ini beliau berkata, sama ada permohonan kerakyatan diluluskan atau tidak diluluskan hanya pemohon yang dimaklumkan.

"Ia antara pemohon dan Putrajaya, jadi JPN tidak tahu.

"Kami mohon JPN terlibat supaya mereka boleh membantu memastikan borang permohonan lengkap bagi memastikan kadar kejayaan.

"Ini supaya tiada permohonan ditolak kerana borang tidak lengkap," katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement