Anda di sini

Pelan induk pertanian dibangun majukan pertanian, perkukuh sekuriti bekalan makanan negeri

Advertisement

KUCHING: Sarawak akan membangunkan pelan induk pertanian bagi memajukan industri pertanian dan memperkukuh sekuriti bekalan makanan negeri.

Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, pelan induk itu diharap dapat meningkatkan lagi imej industri pertanian yang mampu menarik minat generasi muda menceburi sektor pengeluaran makanan dengan pendapatan lumayan.

"Masa depan dunia bergantung kepada makanan dan sebab itu, sekuriti makanan sangat penting sekarang. Keperluan melengkapkan rantaian makanan sangat tinggi, seperti pembangunan benih serta makanan haiwan ternakan," ujarnya ketika mengadakan lawatan kerja ke projek pertanian pintar di Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS) pada Rabu.

Dr Rundi mendengar penjelasan daripada Penasihat Toclan Agrotech Company mengenai konsep pertanian pintar yang diamalkan di ladang mereka di PPKS. Turut kelihatan, Ketua Pengarah Lembaga Pembangunan Tanah Sarawak Siang Mandaw (kanan).
Dr Rundi mendengar penjelasan daripada Penasihat Toclan Agrotech Company mengenai konsep pertanian pintar yang diamalkan di ladang mereka di PPKS. Turut kelihatan, Ketua Pengarah Lembaga Pembangunan Tanah Sarawak Siang Mandaw (kanan).

Projek itu diusahakan Toclan Agrotech Company dan telah menerima geran RM500,000 di bawah Dana Pertanian Sarawak bagi membantu syarikat itu memulakan ladang pertanian secara hidroponik bagi menghasilkan pelbagai sayuran salad premium, seperti salad karang hijau dan merah serta salad 'butterhead.'

Dr Rundi berkata, generasi muda memainkan peranan penting dalam sekuriti masa depan rantaian bekalan makanan negeri kerana mereka lebih celik teknologi dan boleh menggunakan teknologi terkini untuk mengusahakan pertanian pintar.

“Justeru, kita mesti mampu memiliki konsep sara diri dan berdikari. Jika kita ingin menceburi bidang pertanian komersial, petani mesti dapat meningkatkan skala dengan menggunakan teknologi yang betul," jelasnya.

Beliau juga berharap sebuah organisasi ditubuhkan sebagai landasan untuk petani tempatan berbincang serta bertukar-tukar teknologi pertanian dalam usaha memaksimumkan pengeluaran dan pada masa sama, menyokong dasar kerajaan memperkukuh rantaian bekalan makanan.

Menurutnya, sekuriti makanan sangat penting kerana situasi serta krisis global ketika ini, antaranya krisis geopolitik antara Rusia dan Ukraine telah memberi impak besar kepada pengeluaran sumber bahan mentah kepada petani tempatan kerana peningkatan harga baja sebanyak tiga kali ganda.

Dr Rundi berkata, ketika ini, Sarawak masih belum dapat memenuhi permintaan makanan tempatan khasnya padi kerana tahap sara diri hanya 38 peratus berbanding lebih 75 peratus di beberapa negeri di Semenanjung Malaysia.

"Oleh itu, sekarang kita menyasar untuk mencapai tahap sara diri sebanyak 60 peratus menjelang 2030 bagi pengeluaran padi kita.

"Ini sangat penting kerana kita memerlukan saiz tanah yang luas untuk menanam pelbagai variasi padi," katanya sambil menambah, kerajaan telah mengenal pasti beberapa ribu hektar tanah untuk penanaman padi di negeri ini.

Selain itu, Dr Rundi berharap pembangunan industri pertanian yang diterajui sektor swasta dan kepakaran asing mampu mengubah pertanian sara diri kepada usahawan tani serta mengeluarkan keluarga petani terlibat daripada belenggu kemiskinan.

Berkongsi pengalaman beliau ketika mengadakan lawatan ke Belanda baru-baru ini, Dr Rundi berkata, beliau kagum dengan amalan pertanian di negara itu, sangat maju dan kerajaan hanya tampil membantu jika diperlukan.

Menurutnya, Belanda sudah membekalkan hasil pertanian untuk seluruh Eropah dengan produk-produk yang dihantar terus ke pasaran selepas dituai.

“Bagi kerajaan Sarawak, apa yang perlu kita lakukan ialah memudahkan penyediaan infrastruktur, ketersediaan tanah dan menganjurkan program latihan untuk menarik minat generasi muda menceburi bidang pertanian pintar," katanya.

Beliau menambah, kementeriannya juga akan menggalakkan penanaman yang mampu memberi pulangan lumayan selain kelapa sawit.

Advertisement