Anda di sini

Kompleks Perkuburan Islam Semariang dijangka siap akhir tahun ini

Advertisement
Kompleks Perkuburan Islam Semariang bernilai RM4.3 juta sedang disiapkan.
Kompleks Perkuburan Islam Semariang bernilai RM4.3 juta sedang disiapkan.

KUCHING: Kompleks Perkuburan Islam Semariang bernilai RM4.3 juta yang terletak di kawasan perkuburan orang Islam di Semariang dijangka siap menjelang akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai berkata, bangunan satu tingkat itu kini dalam pembinaan dan merupakan yang pertama di negara ini, selain akan beroperasi 24 jam apabila ia siap kelak.

“Bangunan itu sepatutnya siap lebih awal tetapi disebabkan pandemik COVID-19, ia ditangguhkan sehingga awal tahun ini. Bagaimanapun, kompleks itu dijangka siap akhir tahun ini.

“Kompleks ini akan memberi manfaat kepada ramai umat Islam yang tinggal di bandar terutama apabila ia beroperasi 24 jam dan dibuka setiap hari, dengan ciri keselamatan dan pegawai bertanggungjawab ditempatkan di kompleks itu.

"Selain itu, mana-mana umat Islam yang ingin menguruskan jenazah boleh memanfaatkan kompleks ini.

"Pada masa sama, kompleks itu juga berfungsi sebagai tempat penganjuran kelas atau kursus agama," katanya ketika ditemui pemberita selepas sidang media gimik pelancaran dua gazebo di Tanah Perkuburan Islam Semariang di sini, hari ini.

Mengulas mengenai tanah perkuburan terbabit yang sudah 70 peratus digunakan setakat ini, Abang Abdul Wahap berkata, LAKMNS sedang meninjau kawasan sekitar untuk melakukan pembesaran tanah perkuburan.

“Berdasarkan analisis kami, tanah perkuburan itu akan penuh dalam tempoh lima tahun.

"Oleh itu, kami sedang melihat kawasan sekitar untuk pembesaran dan pada masa ini kami sedang berbincang dengan Jabatan Tanah dan Survei. Sebaik sahaja kami mendapat perjanjian hitam dan putih, kami boleh meneruskan perancangan tersebut," katanya.

Dalam pada itu, semasa majlis pelancaran dua gazebo hari ini, Abang Abdul Wahap berkata, objektif pembinaan lima gazebo di sekitar tanah perkuburan itu adalah untuk menjadikan kawasan itu mesra pengunjung, selain berfungsi sebagai kemudahan serta keselesaan pengunjung.

“Salah satu inisiatif adalah untuk mencantikkan program Tanah Perkuburan Islam Semariang (TPS), supaya tidak ada perasaan seram bagi pengunjung baikpun orang ramai yang datang ke sini ketika menziarahi kubur orang tersayang. 

“Kubur bukanlah tempat yang menakutkan. Dan dengan adanya program tersebut juga, sekurang-kurangnya akan ada beberapa jenis kemudahan di sekitar untuk pengunjung," katanya.

Gazebo tersebut menggunakan tenaga solar untuk pencahayaan pada waktu malam dan mempunyai reka bentuk inovatif dan dinamik, malah setiap elemen pada reka bentuk gazebo mempunyai fungsi tersendiri.

“Reka bentuk bumbung membolehkan proses penuaian air hujan dan pada masa sama, menjimatkan sumber elektrik,” katanya.

Pada masa ini, dua gazebo telah siap dibina dengan kos RM158,318 (untuk dua gazebo) dan tiga lagi akan dibina dalam fasa dua tahun ini.

“Pembinaan gazebo adalah daripada dana wakaf iaitu sumbangan individu dan syarikat swasta.

“LAKMNS mengalu-alukan kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk syarikat awam dan swasta untuk menyumbang kepada pembinaan ini, selain melihatnya sebagai platform pelaksanaan tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif LAKMNS, Mohamad Feisal Said, Ketua Pegawai Jabatan Aset dan Fasiliti LAKMNS, Khasmady Mahidi dan pegawai LAKMNS.
 

Advertisement