Anda di sini

KKM akan kerjasama dengan KPM pastikan GEG tidak mula merokok

Advertisement
Sesi fotografi melibatkan semua hadirin pada Majlis Perasmian Hari Kesihatan Sedunia dan Hari Tanpa Tembakau Peringkat Negeri Sarawak 2022 di Mukah pada Rabu.
Sesi fotografi melibatkan semua hadirin pada Majlis Perasmian Hari Kesihatan Sedunia dan Hari Tanpa Tembakau Peringkat Negeri Sarawak 2022 di Mukah pada Rabu.

MUKAH: Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memastikan Generasi Penamat (GEG) agar tidak mula merokok.

Pegawai Kesihatan Bahagian Mukah selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja Dr Huzaimah Husin berkata, ia akan direalisasikan melalui kempen Generational End Game Anti Rokok (GEGAR-18) yang telah dilancar secara rasmi pada 25 April 2022 lalu.

Menurutnya, inisiatif berkenaan adalah penting demi memastikan golongan GEG kekal bermotivasi sekali gus bebas daripada perbuatan merokok.

Selain itu, ia juga bakal membantu golongan GEG yang telah merokok untuk mendapatkan rawatan berhenti merokok.

“Golongan GEG merujuk kepada mereka yang berada di alam persekolahan sehingga memasuki institusi pengajian tinggi atau alam pekerjaan," katanya ketika Majlis Perasmian Hari Kesihatan Sedunia dan Hari Tanpa Tembakau Peringkat Negeri Sarawak 2022 di sini, pada Rabu.

Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 telah dibentangkan di Dewan Rakyat baru-baru ini oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Ia terkandung cadangan agar individu yang lahir pada 2007 dan seterusnya dilarang merokok, membeli atau memiliki produk tembakau atau peranti merokok. 

Huzaimah berkata, RUU itu turut menggariskan peruntukan bagi pendaftaran produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau, selain mengawal pengiklanan, promosi dan penajaan, penjualan serta pembelian produk tembakau, bahan merokok, produk pengganti tembakau atau peranti merokok.

Ia merupakan antara usaha kerajaan melalui KKM untuk memastikan hak semua orang untuk mendapatkan udara bersih dan menjaga kesejahteraan rakyat kerana rakyat yang sihat merupakan aset kepada negara.

Tambahnya lagi, ia juga mengurangkan beban kerajaan dari segi kos perbelanjaan kesihatan.
 
Sesiapa sahaja boleh mendapatkan bantuan profesional perubatan di klinik berhenti merokok untuk membantu bebas daripada ketagihan merokok.

Justeru, Huzaimah menyeru agar semua pihak dapat memberikan sokongan menyokong kempen 'GEG Tak Nak Merokok' untuk memperkasa orang ramai terutama di kalangan kanak-kanak dan remaja untuk menyatakan tidak kepada rokok dan tidak memulakan tabiat merokok.
 
Ia juga termasuk 'Kempen Speak Out: Suarakan Hak Anda' untuk memperkasa masyarakat dan menggalakkan mereka menegur secara berhemah golongan perokok yang merokok di tempat larangan merokok dan berani menyatakan hak tidak ingin menghidu asap rokok.

Turut hadir Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam) Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak Dr Rosemawati Ariffin.
 

  • oleh
  • Advertisement