Anda di sini

Kertas Putih Kesihatan Sarawak akan sediakan input

Advertisement
KUCHING: Kerajaan Sarawak akan menyediakan semua maklumat yang diperlukan Kementerian Kesihatan termasuk tuntutan untuk mempunyai autonomi dalam perkara tertentu berkaitan isu kesihatan di negeri itu, bagi memudahkan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin ketika membentangkan Kertas Putih di Parlimen.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata kementeriannya bersama-sama Penasihat Undang-undang Sarawak Datuk Seri JC Fong dan beberapa pakar perubatan di negeri ini telah mengadakan perbincangan meja bulat dengan semua agensi Persekutuan dan negeri bagi mendapatkan input untuk disampaikan kepada Khairy.

Beliau berkata input berkenaan akan diperkemaskan dan memaklumkan kepada Primier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebelum dibentangkan kepada Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutupan Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif  peringkat Pihak Berkuasa Tempatan Sarawak di sini pada Rabu.

Dr Sim, yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri berkata Khairy dijangka membentangkan Kertas Putih itu di Parlimen, sama ada pada Oktober atau November tahun ini.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua orang (yang terlibat) iaitu pihak (dari) pelbagai agensi. Mereka akan menghasilkan laporan yang lebih terperinci dan kemudian laporan itu akan diserahkan (kepada saya). Saya akan membentangkannya kepada Khairy kerana kita mahu apa sahaja yang kita tulis (laporkan) menjadi sebahagian daripada Kertas Putih yang akan dibentangkan di Parlimen,” katanya.

Pada Jun lepas, Khairy ketika membentangkan ucaptamanya bertajuk ‘Penjagaan Kesihatan Awam Pembuktian Masa Hadapan’ sempena Dialog Kepimpinan Pemikiran Kesihatan Awam di Universiti Nasional Singapura berkata kementeriannya mencadangkan Kertas Putih Kesihatan untuk memastikan  sistem penjagaan kesihatan Malaysia pada masa hadapan.

Beliau berkata Kertas Putih itu akan mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Pembaharuan Penjagaan Kesihatan yang tugasnya memantau, menasihati dan melaporkan secara bebas status pelaksanaan reformasi penjagaan kesihatan kepada kerajaan, Parlimen dan rakyat. - BERNAMA

Advertisement