Anda di sini

COVID-19 : Penularan subvarian BA.5 meningkat ketara di Sarawak

Advertisement

KUCHING: Subvarian BA.5 COVID-19 dikesan menyumbang 32.8 peratus atau satu pertiga daripada kes positif COVID-19 Sarawak pada Jun dan Julai.

Pengarah Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti (IHMC) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Profesor Dr. David Perera berkata, dari 2 April hingga 13 Julai tahun ini, sejumlah 165 sampel yang diperoleh di seluruh negeri berjaya disusun dan kesemuanya dikesan sebagai Varian Omicron Membimbangkan B.1.1.529(VOC).

Beliau mendedahkan perkara itu dalam laporan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, hari ini.

Mengulas lanjut Dr Perera berkata, daripada sampel ini, sejumlah 121 dikesan sebagai beberapa sub-keturunan kecil BA.2, satu kes yang merupakan pengesanan pertama BA.4 dan 43 lagi sampel BA.5.

"Walaupun BA.2 VOC terus menjadi subvarian utama yang dikesan sepanjang tempoh pengawasan ini, terdapat peningkatan ketara dalam pengesanan BA.5 VOC. Dari awal Jun dan bulan-bulan seterusnya, kira-kira satu pertiga (32.8 peratus) daripada semua pengesanan adalah daripada subvarian ini (BA.5)," ujarnya menerusi kenyatan hari ini.

Dr Perera menambah pemerhatian di Sarawak ini adalah selaras dengan pengedaran global VOC Omicron yang mempunyai kadar jangkitan tinggi, sekaligus menyaksikan peningkatan pesat kadar pengesanannya di banyak negara.

"Ini telah membawa kepada peningkatan jangkitan," katanya.

Sehubungan itu, Dr Perera berkata orang ramai dinasihatkan supaya peka dengan risiko peningkatan kadar jangkitan di negeri ini.

"Sila pertimbangkan untuk mendapatkan dos penggalak bagi sesiapa yang belum, terutamanya bagi individu mempunyai komorbiditi iaitu mereka berumur 50 tahun ke atas serta mereka yang sebelum ini hanya menerima satu dos vaksin mRNA," katanya.

  • oleh
  • Advertisement