Anda di sini

Betong tuan rumah sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri

Advertisement

KUCHING: Bandar Betong bakal meriah pada 31 Ogos ini sebagai tuan rumah Sambutan Perayaan Hari Kebangsaan 2022 Peringkat Negeri Sarawak.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi yang juga Menteri Bertanggungjawab Hari Kebangsaan 2022 Peringkat Negeri Sarawak berkata, pelbagai program telah dirancang bagi memeriahkan sambutan berkenaan.

Menurutnya, sebelum acara induk sekitar jam 10 pagi, sambutan tahun ini akan dimulakan dengan aktiviti berbasikal 'Kayuhan Perpaduan' yang dijangka disertai oleh dif-dif jemputan, pemimpin masyarakat dan penduduk Betong.

"Flag off (pelepasan) kayuhan itu dijangka bermula pada jam 8 pagi di kawasan Kompleks Sukan Betong dan akan tamat di Dewan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan.

"'Kayuhan Perpaduan' dianjurkan oleh Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, manakala majlis perhimpunan perayaan Hari Kebangsaan tahun ini selaku acara induk dianjurkan bersama oleh Unit Protokol dan Perhubungan Awam Negeri (UPPAN), Jabatan Premier Sarawak serta Pejabat Residen Betong," ujarnya pada sidang media Sambutan Perayaan Hari Kebangsaan 2022 Peringkat Negeri Sarawak di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Martin Ben, Residen Bahagian Betong Richard Michael Abunawas dan Timbalan Pengarah UPPAN Hamdan Sharbini.

Julaihi menunjukkan poster sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri yang akan diadakan di Betong tahun ini. Turut kelihatan Martin dan Richard.
Julaihi menunjukkan poster sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri yang akan diadakan di Betong tahun ini. Turut kelihatan Martin dan Richard.

Julaihi berkata, turut diadakan ialah malam ambang kemerdekaan pada malam 30 Ogos bagi memeriahkan suasana di bandar Betong.

"Pada malam itu diadakan Konsert Ambang Merdeka yang menampilkan persembahan hiburan seperti nyanyian artis tempatan, tarian tradisional dan kontemporari daripada Majlis Seni Sarawak," jelasnya.

Katanya, acara induk pada 31 Ogos dijangka dihadiri oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Kurdi Taib, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan isteri Datuk Amar Juma'ani Tuanku Bujang, anggota kabinet dan tetamu kenamaan lain.

Menurutnya lagi, tema sambutan Hari Kebangsaan tahun ini ialah 'Keluarga Malaysia, Teguh Bersama' bagi menghargai keprihatinan dan ketabahan rakyat Malaysia menghadapi COVID-19.

"Pada masa yang sama, kita menjangka sekurangnya-kurangnya 1,000 jemputan bakal hadir pada majlis itu berikutan prosedur operasi standard (SOP) masih dilaksanakan, walaupun negara berada dalam fasa peralihan ke endemik.

"Ini bermakna, semua tetamu mesti mematuhi SOP yang ditetapkan dan kita ingin menjemput semua pihak untuk bersama-sama meraikan majlis ini.

"Kita percaya masyarakat menantikan Hari Kebangsaan diadakan pada setiap hujung bulan Ogos setiap tahun," katanya.

Menurut Julaihi lagi, pihaknya sudah membuat persediaan rapi bagi menjayakan majlis itu nanti."Kita sudah membuat persediaan (dengan) menyediakan tempat untuk para tetamu pada hari tersebut. Ini termasuk persediaan malam ambang sambutan dan seterusnya awal pagi 31 Ogos," tambahnya.

Justeru, beliau menjemput orang ramai hadir memeriahkan majlis sambutan itu di Betong bagi menyemarakkan lagi rasa cinta dan sayang terhadap negara.

Advertisement