Anda di sini

Abdullah tegur tajuk berita tidak adil dan kurang sensitif

Advertisement

KUCHING: Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol menegur cara penulisan sebuah portal berita berhubung prestasi ratu terjun negara Dato Pandelela Rinong pada Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Menurutnya, penulisan sedemikian adalah tidak adil bukan sahaja secara langsung tidak menghargai pencapaian dan pengorbanan olahragawati cemerlang seperti Pandelela tetapi seolah-olah mempersenda prestasi atlet lain yang turut senasib dengan Pandelela.

“Bukan sahaja perasaan atlet berkaitan terguris, malah ramai peminat sukan tanahair turut kecewa dengan penulisan tersebut.

“Penyertaan semua wakil negara di pentas sukan bertaraf antarabangsa harus dihargai dalam semangat kesukanan dan berjiwa patriotik. Penyertaan mereka samada menang atau kalah membawa bendera Malaysia di dada mereka dan jika menang, lagu kebangsaan kita berkumandang di luar negara," katanya ujarnya ketika diminta mengulas pada Khamis.

Ketika dalam sambutan bulan Kebangsaan, penyertaan semua atlet mewakili negara harus dibanggakan dalam semangat Keluarga Malaysia tanpa mengira samada mereka menang atau kalah.

"Jangan kita puji dan sanjung bila mereka menang sahaja, kita mesti mampu untuk memberi dorongan dan sokongan bila atlet kita yang turut kecewa dengan kegagalan mereka.

"Atlet mana yang tidak mahu menang? Mereka berkorban tenaga dan masa menjalani jadual serta proses latihan yang sukar dalam jangka masa lama sudah tentu bukan bertujuan untuk kalah atau gagal,” katanya.

Tetapi jika nasib tidak menyebelahi mereka setelah berusaha bersungguh-sungguh, mereka akan mempamerkan kematangan dengan menerima keputusan bahawa mereka kalah kepada sahabat atlet yang lebih baik, jelasnya lagi.

"Semangat kesukanan, disiplin diri serta setiakawan dalam aktiviti sukan adalah pekerti yang baik untuk dijadikan contoh serta teladan kepada warga muda negara kita supaya tidak mudah putus asa bila mengalami kegagalan atau kesukaran dalam kehidupan," katanya.

Justeru, beliau meminta agar pengamal media sentiasa memilih pendekatan atau cara penulisan yang mampu membina jatidiri warga negara dan mengukuhkan perpaduan.

“Sensasi yang melampau tidak mungkin dihargai malah memualkan,” tegasnya.

Advertisement