Anda di sini

Tindakan penguatkuasaan mengikut Akta 804 terhadap pengamal pergigian haram

Advertisement
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) akan melaksanakan tindakan penguatkuasaan mengikut Akta Pergigian 2018 (Akta 804) terhadap pengamal pergigian haram, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. 

Beliau berkata kementerian itu memandang serius setiap aduan yang diterima oleh Program Kesihatan Pergigian KKM dan aduan tersebut akan disiasat sebelum tindakan penguatkuasaan termasuk serbuan diambil di bawah Bahagian VI Akta Pergigian 2018 (Akta 804).

KKM, katanya menyedari kegiatan pengamal haram itu turut meliputi pihak yang memberi khidmat latihan kepada pengamal pergigian haram yang boleh memberi pelbagai kesan buruk dan mengancam kesihatan masyarakat.

“Menangani aktiviti pergigian haram yang berleluasa ini iaitu sama ada yang memberi rawatan, mahupun yang menerima rawatan, termasuklah pihak yang memberi khidmat latihan yang tidak diiktiraf adalah tanggungjawab bersama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan merujuk beberapa artikel daripada akhbar tempatan berbahasa Inggeris antaranya bertajuk  'The terrible 'tooth' of fake dentists' dan 'How I became a 'dentist' in just five hours’ pada 4 dan 5 Julai lepas.

Akta Pergigian 2018 (Akta 804) yang berkuat kuasa mulai 1 Jan lepas itu mensyaratkan hanya pengamal yang berkelayakan, berwibawa dan profesional akan didaftarkan serta layak untuk memberi perkhidmatan pergigian.

Seksyen 62(1) Akta 804 memperuntukkan larangan menjalankan amalan pergigian oleh seseorang yang tidak didaftarkan di bawah Akta 804.

Di bawah Seksyen 62(3) akta sama, mana-mana individu yang melanggar peruntukan subseksyen 62(1) akta itu dan disabitkan melakukan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM300,000 atau dipenjarakan bagi tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.

Dr Noor Hisham berkata tindakan penguatkuasaan, risikan dan siasatan perlu dilaksanakan dengan teliti bagi memastikan elemen kesalahan dapat dibuktikan tanpa dilakukan dengan tergesa-gesa.

Orang ramai diminta mengajukan aduan secara rasmi berhubung kegiatan itu kepada Program Kesihatan Pergigian, Kementerian Kesihatan Aras 5, Blok E10, Kompleks E, Presint 1 Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62590 Putrajaya.

Aduan juga boleh dibuat menerusi talian 03-88834215 atau email di [email protected]. - BERNAMA

Advertisement