Anda di sini

Persatuan Badminton Sarawak digesa bekerjasama bangun bakat sukan badminton

Advertisement

KUCHING: Persatuan Badminton Sarawak (PBS) digesa terus bekerjasama rapat dengan Perbadanan Sukan Sarawak (PSS) dan Majlis Sukan Negeri (MSN) Sarawak membangunkan bakat dalam sukan badminton di negeri ini.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata kerjasama itu penting bagi memajukan lagi sukan badminton Sarawak.

"Saya menggesa persatuan-persatuan badminton tempatan bekerjasama rapat sebagai satu keluarga dengan PSS dan MSN." 

PPS bertanggungjawab menjaga semua sukan di negeri ini manakala persatuan, bagi kes Persatuan Badminton Sarawak bertanggungjawab ke atas pembangunan sukan badminton," katanya ketika menerima kunjungan hormat daripada PBS diketuai Setiausaha Kehormatnya Ting Ching Zung baru-baru ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PSS yang juga Pengarah MSN Sarawak Morshidi Frederick.

Abdul Karim membincangkan sesuatu dengan Ting (kanan) semasa menerima kunjungan daripada PBS baru-baru ini.
Abdul Karim membincangkan sesuatu dengan Ting semasa menerima kunjungan daripada PBS baru-baru ini.

Tujuan kunjungan hormat itu ialah memaklumkan kepada Abdul Karim berhubung persiapan PBS menghadapi saingan Sukan Malaysia (SUKMA) dan senarai pemain yang bakal menggalas cabaran Sarawak dalam kejohanan-kejohanan badminton.

Abdul Karim berkata PSS, MSN Sarawak dan PBS seharusnya menggabung usaha dan mengumpul sumber-sumber mereka termasuk mempunyai jurulatih untuk merancakkan lagi pembangunan sukan itu di Sarawak.

Beliau juga gembira kerana beberapa pemain badminton muda Sarawak yang ketika ini menjalani latihan bersama skuad kebangsaan di Bukit Jalil di bawah jurulatih Rexy Manaiky, pengarah kejurulatihan beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

"Kita perlu bekerjasama untuk memajukan lagi sukan badminton di Sarawak," ujarnya.

Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan berkata beliau gembira dengan persiapan dan sasaran pingat ditetapkan PBS pada SUKMA 2022.

"Saya sangat gembira apabila mengetahui PBS dapat menghantar pemain-pemain junior mengambil bahagian dalam kejohanan-kejohanan di luar Sarawak dengan tujuan memberi pendedahan dan pengalaman kepada mereka," katanya sebagai mengulas inisiatif-inisiatif persatuan sebagai garis pengukur piawaian pemain-pemain badminton junior dengan pesaing-pesaing dari luar Sarawak.

Beliau menambah: " Ini usaha yang sangat baik bagi kemajuan berterusan sukan badminton di Sarawak.

"Saya juga mengiktiraf kemampuan kepimpinan PBS kerana telah mencapai kemajuan besar khasnya dalam menganjur kejohanan-kejohanan di peringkat akar umbi.

Sementara itu, Presiden PBS Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain memuji sokongan serta kerjasama diberikan PSS kepada persatuan itu.

SUKMA Ke-20 yang akan berlangsung dari 16 hingga 24 September 2022 di Kuala Lumpur merupakan pentas cabaran terbaik kepada pemain badminton muda Sarawak yang telah berlatih dengan gigih meskipun berdepan banyak cabaran khususnya semasa pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Advertisement