Anda di sini

Marah ditegur mengamuk, lelaki tetak bapa saudara

Advertisement
 Kesan kecederaan pada kepala mangsa selepas ditetak suspek.
TETAK: Kesan kecederaan pada kepala mangsa selepas ditetak suspek.

KOTA KINABALU: Seorang lelaki bertindak menetak kepala bapa saudaranya selepas tidak berpuas hati ditegur semasa mengamuk tanpa sebab di Kampung Lok Kurai Selanggan Pulau Gaya di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata kejadian jam 11 pagi kelmarin itu berlaku apabila mangsa berumur 73 tahun menegur suspek berumur 45 tahun.

“Hasil siasatan mendapati, suspek yang juga penagih dadah itu mengganggu penduduk kampung dengan membaling batu dan kayu beruti ke kawasan rumah penduduk tanpa sebab.

“Mangsa kemudiannya cuba menegur perbuatan suspek menyebabkan suspek tidak berpuas hati dan marah sebelum balik ke rumah untuk mengambil sebilah parang.

“Suspek kemudiannya datang kembali ke kawasan terbabit sebelum menetak kepala mangsa sehingga menyebabkan kecederaan,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Zaidi berkata mangsa warga emas itu bagaimanapun terselamat dalam kejadian ini dan mengalami kecederaan di kepala.

“Selepas melihat keadaan kepala mangsa yang berdarah, suspek yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan itu terus melarikan diri masuk ke dalam kawasan hutan berhampiran kampung berkenaan.

“Mangsa pula dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Tambahnya mangsa juga membuat laporan polis kerana bimbang suspek akan bertindak lebih ganas selain mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

“Bertindak dengan maklumat, sepasukan polis ditugaskan untuk menjalankan siasatan sebelum berjaya menahan suspek di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Lok Urai di sini pada jam 4.30 petang hari sama.

“Polis turut merampas sebilah parang sepanjang kira-kira 0.6 meter yang dipercayai digunakan suspek menyerang mangsa semasa kejadian,” katanya.

Tambahnya siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau kedua-duanya sekiranya sabit kesalahan.

  • oleh
  • Advertisement