Anda di sini

Lesen vokasional khas untuk penunggang p-hailing tidak sama seperti GDL

Advertisement

PUTRAJAYA: Lesen vokasional khas yang perlu diambil oleh penunggang perkhidmatan p-hailing tidak sama seperti lesen memandu vokasional (GDL), kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

“Jaminan saya, ia langsung tidak sama dengan GDL yang telah dijalankan terhadap mana-mana kenderaan empat roda atau mereka yang bawa barangan," katanya menjelaskan kekeliruan pemain industri berhubung syarat pemilikan lesen vokasional khas bagi penunggang p-hailing apabila beberapa akta sedia ada dipinda.

Wee dalam sidang media di sini hari ini berkata proses mendapatkan lesen GDL yang dijalankan terhadap kenderaan empat roda atau mereka yang membawa barangan adalah ketat dengan perlu ke institut memandu dan menghadiri kursus khas.

Beliau berkata untuk lesen vokasional khas itu yang namanya akan ditentukan kemudian, penunggang p-hailing tidak perlu ke institut memandu sebaliknya hanya perlu menduduki kursus induksi selama tiga jam yang akan dilaksanakan secara dalam talian.

Mereka juga tidak perlu hadir ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) seperti yang disyaratkan bagi kereta kerana penghantaran barangan melalui motosikal adalah secara kecil-kecilan dan mereka juga akan dikenakan caj minimum iaitu tidak melebihi RM10 bagi tujuan pendaftaran lesen.

“Masa nak serap mereka masuk (daftar), (kita akan) bagi moratorium dan tidak perlu bayar setahun. Dengan cara ini, kita akan dapat semua data mengenai penunggang p-hailing," katanya sambil menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa pengenalan lesen khas berkenaan adalah membebankan.

Wee berkata lesen vokasional khas itu bertujuan memberi pengiktirafan kepada status penunggang p-hailing selain membolehkan Kementerian Pengangkutan (MOT) mengetahui bilangan penunggang yang ada dalam negara dan memudahkan penyaluran bantuan kepada komuniti itu.

Isnin lepas, Wee dilaporkan berkata mesyuarat Jemaah Menteri pada 5 Ogos lepas bersetuju supaya Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333], Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 [Akta 334] dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 [Akta 715] dipinda bagi tujuan pengawalseliaan serta penetapan peraturan.

Menurut Wee, selaku Menteri Pengangkutan, beliau 'bimbang' apabila Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) menghantar laporan kajian pemerhatian tingkah laku melibatkan 16,308 penunggang p-hailing kepadanya yang menunjukkan 62 peratus daripadanya berhenti di petak kuning atau di lintasan pejalan kaki.

Kajian yang dibuat menerusi kamera litar tertutup di 11 jalan raya di Kuala Lumpur pula mendapati 14 peratus penunggang p-hailing memegang telefon dan melanggar lampu isyarat, tujuh peratus membuat pusingan ‘U’ di tempat yang tidak dibenarkan manakala tiga peratus bertindak melawan arus. - BERNAMA

Advertisement