Anda di sini

FELCRA laksana projek mega ternakan ayam tertutup bernilai RM60 juta

Advertisement
 Mahdzir (empat kiri) melakukan lawatan kerja ke Tapak Kompleks Ladang Ayam Pedaging Sistem Tertutup FELCRA Berhad di Tanjung Seratus.
LAWAT: Mahdzir (empat kiri) melakukan lawatan kerja ke Tapak Kompleks Ladang Ayam Pedaging Sistem Tertutup FELCRA Berhad di Tanjung Seratus.



ROMPIN: FELCRA Berhad mengorak langkah dalam aktiviti perniagaannya dengan melaksanakan projek mega ternakan ayam sistem tertutup bernilai RM60 juta.


Projek yang dilaksanakan di Kampung Tanjung Seratus, Rompin, Pahang itu adalah sebahagian inisiatif FELCRA dalam menyokong Dasar Jaminan Keselamatan Makanan Negara.


Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kementeriannya menyalurkan peruntukan projek mega itu di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).


"Pelaksanaan projek mega ternakan ayam ini akan memberikan kesan penjanaan ekonomi setempat melalui aktiviti perkhidmatan dan penyelenggaraan, kerja-kerja landskap, pembekalan, kontrak pembinaan dan pelbagai aktiviti-aktiviti lain dengan nilai hampir RM1 juta setahun.


"Ianya juga akan membuka peluang pekerjaan kepada peserta FELCRA selain dapat membantu mengisi dana bagi Tabung CSR Warga Peserta untuk pelaksanaan Program Tanggungjawab Sosial Korporat serta program keusahawanan berasaskan bekalan makanan ayam, " katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Lawatan Kerja ke Tapak Kompleks Ladang Ayam Pedaging Sistem Tertutup FELCRA Berhad di Tanjung Seratus, kelmarin.


Turut hadir, Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun; Pengerusi FELCRA, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA, Datuk Mat Roni Zakaria.


Jelas Mahdzir lagi, projek tersebut adalah sebahagian daripada Pelan Transformasi FELCRA 2.0 untuk mempelbagaikan bidang perniagaannya dan tidak hanya bergantung kepada sektor perladangan kelapa sawit semata-mata.


Pembinaan kompleks ternakan ayam di atas tanah seluas 20 hektar itu mula dibina bulan ini dan dijangka siap bulan Januari tahun depan.


Projek Mega Ternakan Ayam Pedaging FELCRA itu mampu membekalkan sebanyak 600 ribu ekor ayam satu pusingan 32 hari atau 3.6 juta ekor pada tahun pertama operasinya.


Ketika ini, keperluan ayam dalam negara adalah berjumlah 2.09 juta ekor sehari atau 62.9 juta ekor ayam sebulan.
Berbanding pengeluaran semasa ayam sebanyak 1.6 juta ekor sehari iaitu kekurangan kira-kira 409 ribu ekor ayam sehari.


"Saya turut menyarankan agar FELCRA menceburi rantaian sumber makanan ternakan iaitu jagung bijian yang diperlukan bagi bekalan ternakan ayam untuk menampung keperluan domestik. Ini sekaligus akan menyelesaikan masalah kebergantungan terhadap import makanan ternakan, " katanya.

  • oleh
  • Advertisement