Anda di sini

Dewan Negara lulus Rang Undang-undang Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan mengambil pelbagai langkah bagi menggalakkan golongan suami membuat caruman untuk isteri di bawah Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR). 

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Awang Hashim berkata ia termasuk cadangan agar suami yang mencarum dapat diberi insentif pelepasan cukai pendapatan dan insentif padanan caruman de ngan sebahagian caruman boleh ditanggung oleh pihak tertentu seperti kerajaan.

“Bagaimanapun, perkara ini akan diperhalusi dengan mengambil kira implikasi kewangan. Pasukan teknikal juga akan ditubuhkan sekiranya terdapat tuntutan seperti ini,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 di Dewan Negara semalam.

Selain itu, Awang berkata KSM melalui PERKESO akan mempergiatkan kempen kesedaran kepada golongan suami melalui sesi libat urus, jerayawara, aktiviti Skuad Prihatin, program Sosial Sinergi PERKESO bagi menggalakkan caruman di bawah SKSSR. 

“Ini bagi melindungi isteri yang melahirkan anak kita,” katanya. Rang Undang-Undang itu kemudian diluluskan oleh Dewan Negara dengan lebih suara bersetuju.

Terdahulu ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Keselamatan Sosial Pekerjaan (Pindaan) 2022, Awang berkata seramai 1,090 individu OKU telah berdaftar di bawah Perkhidmatan Pekerjaan PERKESO.

Bagi program Return To Work (RTW) pula, seramai 48,354 OKU telah mendapatkan pekerjaan bagi tempoh Januari 2007 sehingga 5 Ogos 2022. 

Semasa perbahasan, Senator Datuk Ras Adiba Mohd Radzi meminta kementerian mengemukakan statistik pekerja OKU yang didaftarkan dalam sistem PERKESO dan bilangan OKU yang sedang menerima sebarang faedah di bawah sistem berkenaan.

Rang Undang-Undang itu kemudian diluluskan oleh Dewan Negara dengan suara majoriti. Turut diluluskan Rang Undang-Undang Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2022. 

Persidangan Dewan Negara bersambung hari ini. - BERNAMA 

Advertisement