Anda di sini

MID pamer potensi Sabah kepada pelabur

Advertisement
 Joachim (tengah) menerima cenderamata daripada Soh Thian Lai (dua kanan) sempena dengan forum itu.
FORUM: Joachim (tengah) menerima cenderamata daripada Soh Thian Lai (dua kanan) sempena dengan forum itu.

KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri menerusi Kementerian Pembangunan Perindustrian (MID) mengalu-alukan lebih ramai pelabur tempatan dan luar untuk memperluaskan lagi jaringan perniagaan menerusi pelaburan di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian Datuk Dr. Joachim Gunsalam berkata, seiring dengan usaha itu, MID bersama Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) menganjurkan Forum Peluang Pelaburan di Taman Perindustrian Sabah di bawah MID di sini semalam.

Katanya, forum berkenaan bertujuan menunjukkan kepada pihak pelabur berhubung potensi pelaburan yang terdapat di Sabah menerusi beberapa pembentangan dan perkongsian.

Menurutnya, antara yang terlibat dalam sesi perkongsian berkenaan termasuklah Invest Sabah Berhad, Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR), Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), Kluster Perindustrian Minyak Sawit (POIC) Lahad Datu and Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).

"Kita berharap usaha ini akan menggalakkan lebih banyak syarikat dan organisasi untuk mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak MID serta wakil perindustrian untuk melabur di Sabah.

"Forum ini juga sebahagian daripada usaha untuk mempromosikan Sabah sebagai destinasi pelaburan memandangkan negeri ini mampu menawarkan manfaat yang lumayan kepada pihak pelabur dalam perniagaan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Joachim berkata, kehadirannya ke forum itu antara langkah untuk 
memujuk pelabur berpotensi untuk melabur di Sabah.

Sehubungan itu jelasnya, MID yakin dapat menyediakan semua maklumat yang diperlukan pihak pelabur.

"Sebab itulah kita tubuhkan pasukan khas dalam MID yang membabitkan kementerian, jabatan dan agensi dari kerajaan negeri dan Persekutuan yang akan membantu mempercepatkan semua kelulusan yang diperlukan.

"Selain memantau pembangunan sektor perindustrian di negeri ini, MID juga diberi tugas dalam memacu usahawan dari skala kecil untuk mengeksport produk mereka ke luar negara atau antarabangsa," katanya.

Menurutnya, bagi mencapai matlamat berkenaan pihak kementerian akan membantu secara strategik para usahawan dengan memperkasakan dan menguatkan Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

Selain itu katanya, MID juga menyediakan bantuan kemudahan serta kewangan yang fleksibel, menaik taraf kualiti produk IKS, mengukuhkan keupayaan pemasaran produk ke peringkat global serta mengoptimumkan kapasiti dan keupayaan pengeluaran melalui Teknologi Industri 4.0.

Dalam pada itu, beliau turut menyampaikan penghargaan kepada Presiden FMM Tan Sri Soh Thian Lai.

Turut hadir, Setiausaha Tetap MID Thomas Logijin; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Invest Sabah Berhad Datuk Madiyem Layapan; CEO POIC Sabah Sdn Bhd Datuk Fredian Gan; Pengarah DIDR Tseu Kei Yue; CEO KKIP Sdn Bhd Lawrence Guandi Kimkuan; CEO SOGIP dan Pengerusi FMM Sabah James Ha.

Seramai 200 peserta mengikuti forum berkenaan.
 

  • oleh
  • Advertisement