Anda di sini

Lelaki letak vape pada mulut bayi, direman lima hari mulai hari ini

Advertisement
 

JOHOR BAHRU:  Seorang lelaki yang dipercayai meletakkan vape pada mulut seorang bayi berusia tujuh bulan dalam kejadian di sebuah restoran di Bandar Baru Uda, di sini, baru-baru ini, direman selama lima hari, bermula hari ini.

Tempoh reman sehingga 13 Ogos terhadap peniaga berusia 23 tahun itu dikeluarkan Majistret R. Salini, di sini hari ini.

Perintah reman terhadap lelaki itu dikeluarkan bagi membolehkan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Semalam, polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU) menahan lelaki terbabit di Jalan Putih, di sini, pada jam12.45 tengah hari.  

Ketua Polis Daerah JBU, ACP Rupiah Abd Wahid berkata tangkapan dibuat susulan laporan polis yang dibuat ibu kepada bayi perempuan itu pada 6 Ogos lepas.

Beliau berkata wanita berusia 29 tahun itu mengatakan bahawa lelaki terbabit adalah kenalan adik perempuannya dan kejadian berlaku ketika dia bersama bayinya, adik perempuan serta lelaki terbabit berada di sebuah restoran.

Terdahulu, tular video berdurasi 17 saat yang memaparkan seorang lelaki meletakkan vape pada mulut bayi yang sedang dipangkunya itu di media sosial. - BERNAMA 

Advertisement