Anda di sini

Lebih 200 peserta sertai forum peluang pelaburan di Sabah

Advertisement

KUALA LUMPUR: Lebih 200 peserta dari 90 syarikat,  dewan perniagaan dan kedutaan asing hadir pada forum peluang pelaburan di Taman-Taman Perindustrian Sabah.

Forum diadakan sebagai usaha mempromosikan Taman-Taman Perindustrian dibawah Kementerian Pembangunan Perindustrian di Sabah dengan sasaran menarik pelabur asing dan tempatan untuk melabur di negeri itu.

Para peserta juga dijelaskan mengenai potensi pelaburan yang terdapat di Sabah dalam pelbagai sektor.

Forum berkenaan dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Perindustrian, Invest Sabah Berhad dengan kerjasama Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) Sabah.

Acara berkenaan dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah Datuk Dr Joachim Gunsalam.

Sementara itu, Pengerusi FMM Sabah James Ha berkata, sejumlah besar peserta forum menunjukkan minat yang besar terhadap potensi pelaburan dalam pelbagai sektor di Sabah.

Katanya, dengan dasar pelaburan National Investmen Aspiration (NIA) dan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) serta kedudukan Sabah yang strategik selain kekayaan sumber alam, Sabah menawarkan peluang besar kepada pelabur asing dan tempatan.

Dalam pada itu katanya, FFM Sabah gembira memainkan peranan dalam forum ini dengan mengembangkan rangkaian serta membawa potensi pelaburan ke Sabah.

"FMM Sabah juga telah mengenal pasti lebih daripada 15 ahlinya atau pelabur dalam sektor pembuatan domestik Sabah yang mahu mengembangkan operasi dan ditempatkan semula di Taman Perindustrian Kota Kinabalu.

"Dengan jumlah pelaburan lebih RM900 juta sekali gus menyediakan lebih 3,000 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat," katanya.

Menurutnya, usaha itu sudah pasti akan memajukan lagi ekonomi negeri kerana lebih daripada 60 peratus perniagaan adalah berasaskan eksport dengan 30 peratus syarikat telah beroperasi lebih daripada 20 tahun.
 

Advertisement