Anda di sini

Larangan bertukar parti: PM akan maklum kerajaan negeri pinda perlembagaan negeri

Advertisement
Wan Junaidi pada Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini. - Gambar BERNAMA
Wan Junaidi pada Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini. - Gambar BERNAMA

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan memaklumkan kepada semua kerajaan negeri untuk membuat pindaan terhadap perlembagaan negeri masing-masing selaras dengan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) mengenai peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika menggulung perbahasan rang undang-undang tersebut di Dewan Negara hari ini.

"Saya telah berbincang dengan Perdana Menteri selepas kita luluskan rang undang-undang ini di Dewan Negara, saya telah memohon dengan Perdana Menteri untuk mengutus surat kepada semua negeri sebagaimana yang dicadangkan oleh Yang Berhormat (senator) supaya kita menyeragamkan pindaan di semua negeri.

"(Ini termasuk) negeri yang sudah membuat pindaan atau belum membuat pindaan supaya mengikut jadual yang kita pinda sebagaimana yang kita sebut dalam pindaan perlembagaan supaya tiap-tiap negeri mempunyai penyeragaman bersama dengan apa yang kita lihat di peringkat persekutuan," katanya.

Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 itu memperoleh masing-masing sokongan 52 daripada 60 senator selepas dua kali undi belah bahagian dilakukan, iaitu lebih dua pertiga persetujuan Ahli Dewan Negara. 

Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim ketika mengumumkan perkara itu berkata tujuh Ahli Dewan Negara tidak hadir. 

Wan Junaidi berkata peruntukan larangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bertukar parti hanya akan berkuat kuasa di sesebuah negeri pada tarikh yang ditetapkan oleh Yang di-Pertuan Agong dengan persetujuan Raja atau Yang Dipertua Negeri masing-masing. 

“Kita memandang pentingnya pihak DUN diberi kebebasan sendiri bersama keputusan yang bakal dibuat oleh Raja yang memerintah, Gabenor atau Yang Dipertua Negeri di negeri tersebut …selepas ada perundingan dengan Duli Tuanku Yang di-Pertuan Agong barulah kita boleh menyeragamkan perkara tersebut kerana ini juga terkandung dalam pindaan," katanya. 

Semasa sesi perbahasan, rata-rata Ahli Dewan Negara menyifatkan rang undang-undang itu dapat mengembalikan keyakinan rakyat kepada sistem Demokrasi Berparlimen negara.

Antaranya Datuk Arman Azha Abu Hanifah, Datuk Razali Idris dan Susan Chemerai Anding.

Arman Azha berkata ketika ini, kepercayaan rakyat terhadap institusi politik dan pemimpin berada di tahap yang rendah kerana tindakan wakil rakyat bertukar parti telah mengganggu kestabilan negara. 

“Rang undang-undang ini dapat memberikan keyakinan kepada rakyat dan pengundi kerana rakyat akan bertambah yakin dengan kewujudan sebuah kerajaan yang dilindungi malapetaka akibat Ahli Parlimen yang sering melompat parti.

“Pengundi akan lebih yakin dengan pilihan mereka kerana mereka tahu wakil rakyat yang dipilih tidak akan melompat parti selepas ini… perkara ini amat penting kerana tanpa keyakinan rakyat, mungkin ramai yang tidak mahu mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15),” katanya. 

Senada dengan beliau, Razali menyifatkan rang undang-undang itu dapat menghidupkan semula semangat demokrasi di Malaysia yang selama ini tersasar selain mengangkat politik matang dan berharap ia diwartakan segera sebelum PRU15 bagi memastikan tindakan bertukar parti tidak berulang.

Pandangan itu turut disokong Susan Chemerai yang berkata rang undang-undang tersebut memberi mesej jelas bahawa kebebasan untuk berpersatuan tidak membolehkan mandat rakyat dicampak begitu sahaja. 

“Ia juga memberi mesej bahawa mandat rakyat lebih penting dan lebih agung daripada mana-mana kuasa dan percaturan politik. Ia juga memberi mesej yang jelas bahawa mandat rakyat perlu dihormati oleh semua ahli politik terutama wakil rakyat yang dipilih dan tidak boleh dicatur begitu sahaja oleh mereka yang rakus kuasa.

“Saya juga percaya rang undang-undang ini akan memperkukuh dan memberikan lebih makna lagi kepada sistem politik negara kerana ia terhasil daripada usaha dan komitmen pelbagai parti politik daripada pembangkang dan kerajaan serta melalui pelbagai sesi libat urus dan mengambil pandangan badan bukan kerajaan,” katanya. 

Ismail Sabri ketika membentangkan rang undang-undang itu di Dewan Negara hari ini berkata Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 tidak terpakai kepada Ahli Dewan Negara dan ia dipersetujui oleh Jawatankuasa Pilihan Khas setelah mempertimbang beberapa pandangan. - BERNAMA

Advertisement