Anda di sini

Jualan sektor pembuatan Malaysia naik 23.42 peratus kepada RM153.5 bilion pada Jun 2022

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Nilai jualan sektor pembuatan Malaysia tumbuh sebanyak 23.4 peratus kepada RM153.5 bilion pada Jun 2022 berbanding bulan yang sama pada 2021, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.

Pertumbuhan nilai jualan pada Jun 2022 telah dipacu oleh subsektor produk peralatan elektrik dan elektronik (25.4 peratus), produk mineral bukan logam, logam asas dan produk fabrikasi logam (43.2 peratus).

“Pengembangan ini turut didorong oleh subsektor produk makanan, minuman dan tembakau (14.3 peratus), subsektor petroleum, kimia, getah dan produk plastik (18.8 peratus) serta perabot kayu, produk kertas dan percetakan (28.1 peratus),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ia berkata jumlah pekerja yang terlibat dalam sektor pembuatan pada Jun 2022 juga meningkat sebanyak 3.7 peratus kepada 2.297 juta orang berbanding 2.215 juta orang pada Jun 2021.

Jabatan Perangkaan berkata gaji dan upah yang dibayar berjumlah RM7.8 bilion, meningkat sebanyak 6.2 peratus atau RM455.7 juta pada Jun 2022 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya manakala gaji dan upah dibayar pada Jun 2022 melonjak sebanyak 0.4 peratus berbanding dengan Mei 2022.

Purata gaji dan upah yang dibayar bagi setiap pekerja pada Jun 2022 ialah RM3,401, naik 2.4 peratus berbanding bulan yang sama pada 2021, katanya. - BERNAMA 

Advertisement