Anda di sini

Hospital Tawau atasi tunggakkan kes klef bibir dan lelangit

Advertisement
 Shahelmey melawat kanak-kanak yang akan dibedah melalui program tersebut.
LAWAT: Shahelmey melawat kanak-kanak yang akan dibedah melalui program tersebut.

TAWAU: Seramai 24 kanak-kanak yang mengalami klef bibir dan lelangit akan menjalani pembedahan di Hospital Tawau menerusi ‘Program Mass Cleft Surgery Initiative 2022’ bermula 9 hingga 12 Ogos ini.

Menteri Pembangunan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Shahelmey Yahya berkata program itu adalah inisiatif bagi menyelesaikan kes tertunggak pembedahan klef bibir dan lelangit di daerah ini dan sekitarnya.

Katanya, sebanyak 70 kes tertunggak dilaporkan di Hospital Tawau sejak dua tahun lalu akibat berlakunya pandemik COVID-19 di negara kita.

“Program ini mendapat tajaan kos pembedahan daripada Kelab Rotary Tawau Tanjung dan kerjasama pakar-pakar bedah di negara ini.

“Kita sedia maklum, kos pembedahan ini mencecah sehingga RM4,000 dan ia sangat membebankan terutamanya bagi golongan kurang berkemampuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan ‘Program Mass Cleft Surgery Initiative 2022’ yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Rose Nani Mudin, di sini hari ini.

Menurutnya, dengan adanya bantuan daripada Kelab Rotary Tawau Tanjung ini, ia dapat membantu menyelesaikan kes tertunggak sebelum ini.

“Usaha ini sangat baik, malah mempunyai nilai kemanusiaan yang tinggi serta penuh makna kerana ia melibatkan kesihatan dan kesejahteraan rakyat.

“Kerajaan negeri sangat berterima kasih kepada badan-badan bukan kerajaan (NGO) kerana banyak memberikan bekerjasama dengan hospital dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),”katanya.

Shahelmey berharap ibu bapa yang mempunyai anak mengalami klef bibir dan lelangit segera mendapatkan rawatan di hospital berdekatan.

“Kerajaan juga mengharapkan supaya kes-kes tertunggak ini dapat diatasi secepat mungkin, sekali gus sektor kesihatan di negeri ini kembali normal,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement