Anda di sini

Seruas Pansuh Akik

Advertisement
 

Oleh Jais Sahok

“AKIK ajak kamu, pergilah.” Nasuha tidak ragu-ragu melepaskan Abdul Rahman, anak sulungnya, mengikut bapa mentuanya ke hutan. Biarlah dia ada pengalaman ke hutan, fikirnya.
     “Kalau perlu bermalam, kamu berani?” duga Akik Ensurai sambil mengerling.
     “Sedia Kik, saya ada bekal.” Abdul Rahman memang diingatkan ibunya agar membawa bekal kalau ke hutan. 
      Sinorita kenal ayahnya. Sejak mereka kecil dulu, ke hutan di belakang rumah panjang mereka itulah mereka sering diheret oleh bapa mereka. Betis sengal, tulang kering lebam akibat terlanggar kayu, lengan terkait onak pinggir denai, semuanya rempah-ratus kehidupan mereka di rumah panjang itu.
     “Ini cara hidup kita, jangan culas.” Pendek sahaja rangsangan bapa mereka. “Ikut jejak nenek kamu, dia emak aku. Kalau rajin dia, ikutlah rajin. Kalau culas dia, ikutlah malas.” Tidak sepatah kata pun yang beranjak dari susunan ayat bapanya itu dalam ingatannya. Bapanya memang pemotivasi orangnya.
      Dia juga mahu bapanya berpandangan positif terhadap semua anaknya, lebih-lebih lagi anak sulung dan kebetulan lelaki. Abdul Rahmanlah orangnya. Dua orang adiknya akan mengikuti jejaknya kemudian. Suaminya pun mahu mentuanya memandang positif kelelakian anak lelaki sulung mereka.
     “Kita pergi siang. Kalau sudah dapat, kita pulang petang atau awal malam.”
     “Baik Kik.” Abdul Rahman tidak membayangkan apa-apa yang dimaksudkan oleh datuknya. Yang dia faham, dia akan masuk hutan. Dia ikut Akik Ensurai ngasu.
     “Kalau belum dapat apa-apa, kita bermalam.” Abdul Rahman akur. 
     “Faham saya, Kik.” 
      Fikiran sarat dengan bayangan suasana di dalam hutan dara kaki Gunung Gading. Berbagai-bagai perkara yang akan ditanyanya daripada Akik Ensurai, antaranya jenis-jenis rotan, jenis-jenis pokok, jenis-jenis herba dan jenis-jenis burung. Sekalipun datuknya memberi nama-nama itu dalam bahasa Iban, dia akan melakukan eksplorasi nama saintifiknya masing-masing.
     “Maklumlah keadaan zaman sekarang, bukan mudah hendak bertemu binatang di hutan. Semua sudah lari, semua sudah mati. Pembalakan tiga tahun lepas di kaki gunung hutan simpan itu memusnahkan semua hutan tempat binatang liar berkubang berhidup.” Akik Ensurai membebel seorang diri, tapi dia mahu anak, menantu dan cucunya mendengar kata-katanya.
      Bukan dia tidak menyokong pembangunan yang dilaung-laung dalam TV tempatan. Dia menyokong usaha mereka dengan rela. 
      Baginya kerajaan juga yang menyenangkan hidup rakyat. Kerajaan juga yang membina jalanraya dan jambatan, membekalkan air paip bersih dan bekalan elektrik. Malah tahun lepas, kerajaan juga yang membaik pulih rumah panjang mereka. Cuma yang peliknya, apabila pilihan raya tiba, ada-ada sahaja wakil kerajaan yang datang merayu undi. Malah tidak segan-segan pula mengatakan rakyat hendaklah mengenang budi kerajaan. Rakyat terhutang budi. Rakyat hendaklah mengekalkan kerajaan yang berbudi.
      Sedangkan balak dan semua kayu kayan di kaki gunung itu bukan sahaja kawasannya digondolkan, semua burung kenyalang dan helang hutan pun lenyap entah ke mana. Semua pokok diranapkan. Satu sen pun tidak ada yang diagih kepada penduduk berdekatan. Tapi itu bukan kerja kerajaan.
      Ah, malas dia memikirkannya. Terlalu rumit. Jawapannya tetap tidak ada.
      Kalau burung-burung besar itu masih banyak dulu, dengan mudah sahaja dia menembak seekor dua untuk dijadikan lauk tengah hari atau gabi. Berburu pada zaman mudanya memang menyenangkan. Sekejap sahaja akan ada terjumpa babi hutan sesat atau pelanduk kijang yang sedang mencari makan.
     “Kamu izinkan anak kamu pergi dengan aku?” Akik bagai mohon kebenaran dariada Nasuha, menantunya.
     “Izin pak. Biar dia belajar hidup daripada datuknya sendiri, daripada Akik.”
      Akik Ensurai mengangguk-angguk sahaja. Pendirian menantunya menyokong hasratnya. Dia pula berasa semakin intim dan mesra dengan menantunya itu. Tidak seperti dulu.
      Ketika Sinorita memberitahu keinginannya untuk berkahwin dengan Nasuha dan perlu masuk Islam, Akik Ensurai berasa bagai pecah kepalanya ketika itu. Tidak dapat diterima akalnya, anaknya meninggalkan keluarga dengan masuk Melayu.
      Sekarang dia semakin faham. Banyak perkara yang pernah didengarnya dan selalu dibayangkannya jika anaknya masuk Islam, tidak benar. 
      Sinorita tidak buang anak buang saudara. Malah Sinoritalah yang paling kerap pulang ke rumah panjang mereka melawat dia dan Inik Unyai, bininya.
      Tidak perlu ditelefon atau dikirimi salam atau pesan, Sinorita akan muncul sahaja. Kalau dia ada kelapangan, memang dia akan datang, tidak kira cuti atau tak cuti.
      Ketika matahari baharu bergerak condong, Akik bingkas dari duduknya di buntut lesung. “Burung itu sudah berbunyi,” getusnya. 
     “Apa Kik?” Abdul Rahman terpinga-pinga. Apa kena-mengena burung dan bunyi burung dengan tindakan Akik? Fikirannya bergulat.
     “Ikut sahaja aku.” 
      Akik Ensurai mengambil senapang patahnya yang diminyaki malam tadi. Dia teringat bagaimana cucu lelakinya itu melontarkan puluhan soalan tentang senapang itu. Sampai akhirnya meminta kebenaran untuk belajar menembak.
     “Tidak boleh. Pegang pun Akik tak benarkan.”
     “Mengapa Kik?”
     “Kamu belum cukup dewasa. Belum cukup umur.”
     “Apa salahnya Kik?”
     “Kalau terjadi apa-apa, aku yang susah. Jangan kataku, jangan.” Dia mengeraskan suaranya. Lazimnya semua anaknya tidak akan terus bertanya apa-apa kalau dia sudah mengeraskan suaranya.
     “Baik Kik.”
     Akik Ensurai membebelkan sesuatu di kepala tangga rumah panjang mereka sebelum menapakkan kaki kanan di anak tangga paling atas. Abdul Rahman memerhati dengan indera visual tanpa kelip.
      Abdul Rahman mengikut langkah akiknya dengan patuh setelah bersalam hormat dengan ayah dan ibunya. 
     “Hati-hati,” kata Nasuha sambil menjabat erat tangan Abdul Rahman. “Apa-apa nanti, telefon Abah.”
     “Kalau line tak bagus, atau tak ada?”
     “Tengok keadaanlah.”
     “Okey Abah.”
     “Kamu ikut sahaja tapak kaki Akik, jangan pijak tempat lain.” 
      Perjalanan mereka sudah memasuki hutan dara.
     “Mengapa Kik?”
     “Banyak duri. Kalau kamu pijak bekas tapak kaki Akik, selamat kamu. Kalau ada duri sesat, atau apa-apa yang tajam, tentu aku yang sakit tertusuk dulu.”
     “Baik Kik.” 
      Abdul Rahman sesekali tidak patuh pada arahan Akiknya. Dia ada kasut. Tapak kasutnya keras. Akik pula kaki ayam sahaja. Dia berasa dirinya, kakinya yang lebih selamat. Kaki Akik telanjang sahaja. Lebih terdedah kepada tusuk duri atau tunggul kecil.

 

     “Sudah jauh perjalanan kita. Kawasan kaki Gunung Gading ini pun sudah separuh kita daki, belum ada jejak binatang yang kelihatan.” Akik Ensurai bagai mengeluhkan perasaannya.        Abdul Rahman cuba faham akan perasaan datuknya.
      Abdul Rahman mendirikan khemah perteduhan mereka berdua malam itu.
      Setelah membiarkan cucunya sembahyang, dia mengajak Abdul Rahman menyuluh katak sambil menyusur anak sungai di kaki gunung itu. 
     “Untuk apa katak Kik?”
     “Pansuh, malam ini.” Abdul Rahman terpinga-pinga. 
      Rupa-rupanya Akik Ensurai makan daging katak. Ibunya tidak pernah memberitahu dia. Namun dia faham. Bapanya pernah berpesan, apa-apa yang baharu dan tidak pernah dilihat, pandang dengan mata sahaja. Dan jangan banyak mulut. Dia ingat akan pesan itu.
     “Labi-labi tu?” namun dia berasa tidak salah dia bertanya daripada datuknya sendiri.
     “Campur sekali. Nanti kamu tengok bagaimana Akik sediakan pansuh katak dan labi-labi. Akik memang ada bawa daun ubi di dalam bangkat Akik tadi. Ramuan pansuh semua Akik bawa.”
     “Apa pansuh Kik?”
     “Kamu tengok sahaja. Jangan banyak mulut.” 
      Abdul Rahman akur. Dia memerhatikan Akik Ensurai menyediakan pansuhnya. Dia cuma menyuluh atas permintaan datuknya itu. Dari mencari buluh hingga ke membakar buluh pansuhnya, dia menemani datuknya.
     “Mengapa kamu tidak makan pansuh Akik?” Akik Ensurai menyorong hidangan pansuhnya kepada Abdul Rahman beberapa kali.
      Abdul Rahman tersentak. 
     “Saya ada sardin ni, sudah cukup Kik.” Dia tidak mahu mengecewakan datuknya.
      Sepanjang malam itu Akik enggan buka mulut. Apa-apa pun yang ditanya oleh Abdul Rahman, dia tidak menyahut. Apa-apa pun yang dilakukan oleh cucu sulungnya itu, tidak diendahkannya. Lidahnya kelu. Perasaannya mati. Malah apabila Abdul Rahman mengajaknya masuk tidur di dalam khemah mereka pun Akik kelu lidah. Dia asyik menyalakan rokok daun nipahnya di luar khemah sahaja.
      Kecil hatikah Akik? Lama Abdul Rahman bergulat dengan fikirannya seorang diri.
      Marahkah Akik? Dia berasa agak takut tetapi membiarkan datuknya tanpa gangguan sambil dirinya terlontar ke alam tidur yang jauh.
      Apakah yang kubuat silap? Di mana salahnya, kalau ada? Itulah soalannya yang terakhir kepada dirinya sebelum dia terlelap nyenyak.
      Keinginannya hendak menyuapkan pansuh masakan Akik memang melelehkan liurnya. Cuma dia masih mampu mengawal diri. Dia insaf akan halal dan haram makanan yang disuapkannya. Apa-apa yang meragukan, hukumnya makruh.
      Dan ketika pulang keesokan harinya, pemergian mereka benar-benar gagal. Akik pula bagai punggur menggagahi angin di rimba.
      Ketika tiba di rumah, Akik masih membatu. Dia dengan hal dirinya sahaja. Inik pun tidak menegur kepulangan kosongnya.
      Dia kecewa kerana tidak beroleh binatang buruan agaknya, Abdul Rahman meneka dalam fikiran. Bapa dan ibunya pun tidak banyak soal pada malam itu. Dia dan Akik masing-masing dengan perasaan dan fikiran sendiri.
     “Mak, hujung minggu ni Man nak buat pansuh sendiri,” tiba-tiba ketika sarapan dua hari setelah kembali dari kaki Gunung Gading, dia menyatakan hasratnya. 
     “Baguslah. Biar kamu pandai buat sendiri masakan tradisi datuk nenek kamu sendiri.”
     “Kalau tak jadi mak?”
     “Eh, belum buat dah nampak gagalnya?” sampuk Nasuha. Dia mengerling mentuanya yang menunggul di kepala tangga pangkal ruai rumah panjang mereka. Cuma asap rokok daun nipah tembakau buatan sendiri sahaja yang menemaninya di kepala tangga itu.
      Pada pagi Sabtu yang cerah, Abdul Rahman mendirikan sendiri tungku pansuhnya. Dia meniru gaya Akik Ensurai di kaki Gunung Gading.
      Kalau dia buat diam-diam, aku pun pandai juga buat diam-diam. Bagaimana cara dia, begitulah cara aku. Abdul Rahman mengukuhkan pendiriannya. Dia tidak mahu menyusahkan sesiapa. Dalam keadaan begitu, dia berasa sudah dewasa. Dia mampu melakukannnya. Lagipun kalau Akik Ensurai mampu melakukannya, mengapa tidak dia? Apa kurangnya dia berbanding datuknya itu?
      Daun ubi pun dia petik sendiri di pinggir jerami berdekatan rumah panjang. Untuk lebih mengenakkan pansuhnya, selesai solat subuh dia sudah mengikat tali sarung parang datuknya untuk memungut tepus yang lebih jauh. Lampoyang yang wangi itu membentuk identiti pansuh orang Iban. Itu pernah dinyatakan oleh datuknya lama dulu.
      Dia masih ingat akan kata-kata datuknya, “Tepuslah pewangi nombor satu masakan ini, tanpa tepus, bukan pansuh namanya.” 
      Semua ramuan pansuh yang lain sudah disediakannya malam tadi. Ibunya membantu mencukupkan apa-apa yang patut.
      Abdul Rahman terus ke pondok kecil tanpa pangkin di hadapan rumah panjang datuknya. Dia menghidupkan api di tanah berpandukan kaedah dan petua datuknya sendiri yang pernah disaksikannya di kaki Gunung Gading.
     “Kalau kamu sudah mahir, kayu api yang lembap pun akan menyala juga akhirnya,” kata Akik Ensurai ketika itu. “Cuma kamu perlu biasakan diri. Bukan mudah hidup di hutan.”
     “Ish, macam mana ni? Tiba-tiba buluh ni dimakan api… aduh.” Abdul Rahman menggelabah, hilang akal, hilang upaya.
     Ibunya masih di tepian mandi, membasuh pakaian. Adiknya pula tak akan mampu membantu. 
     “Abah!” dia memekik. Dia berasa semakin cemas. Pansuhnya bakal rentung. Ayahnya tidak datang membantu. Dia tidak ada pilihan lain, melainkan datuknya. 
     “Akik, tolong saya. Pansuh hangus!” 
      Terhongoh-hongoh Akik Ensurai menggagahi panggilan cucunya. Dilayahkannya segala kecewanya tiga hari yang lalu. “Cucu aku, tetap cucu aku. Pandai bebalnya dia, dia cucu aku,” getus fikirnya.
      Abdul Rahman menepi, memberi laluan kepada datuknya. 
     “Apinya perlu dikawal, bukan tunu hentam kromo. Semua benda akan hangus dimakan api.” Akiknya membebel tanpa melihat mukanya. 
      Abdul Rahman tidak berani mengatakan apa-apa. Dia masih gigil gemuruh menahan perasaan gundahnya.
      “Kalau mahu pansuh lebih sedap, bakar dengan bara api sahaja. Biar buluhnya tidak hangus,” kemudian dia beredar meninggalkan Abdul Rahman sendirian. 
      Akik Ensurai terus menghilangkan diri menghala ke tepian mandi rumah panjang mereka juga. Kira-kira sejam kemudian, dia muncul dengan bubu rotannya yang berjaya memerangkap lebih sepuluh ekor ikan keli sungai dengan berumpankan tempoyak bergaul hampas dan sekam padi.
      Ketika merarau bersama-sama tengah hari itu, Sinorita melontarkan usikannya. “Petang nanti, kita akan ada pansuh keli lagi. Bubu Akik berhasil.” Dia mengatur letak hidangan di lantai batang nibung belah lapan berlapik tikar mengkuang. 
     “Tengah hari ini kita nikmati pansuh orang bujang,” tambahnya sambil mengerling Nasuha yang terkebil-kebil. 
      Abdul Rahman tidak dapat mengelak daripada mengerling Akik Ensurai yang sedang menajamkan ekor matanya. Dia kekal duduk membatu di hadapan hidangan Sinorita. 
     “Inik Unyai mana? Panggil dia makan sama-sama.” Tiba-tiba dia teringat akan isterinya yang masih sibuk menjemur lada hitam di belakang ruai.
      Mereka perlu makan bersama-sama.

Glosari
ngasu        Memburu binatang seperti rusa atau babi hutan dengan bantuan anjing.

 
 
Advertisement