Anda di sini

Satu lagi objek dipercayai serpihan roket China ditemui di Miri

Advertisement

MIRI: Satu lagi objek dipercayai serpihan roket Long March 5B milik China dijumpai di sebuah kawasan kebun persendirian berhampiran Rumah Ngadan di Sungai Kurong, Suai dekat sini pada Ahad.

Pemangku Penguasa Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 6 Miri Ahmad Nizam Sapaiee berkata, sekitar jam 2.19 petang Isnin pihaknya telah menerima panggilan khidmat khas berhubung penemuan objek disyaki serpihan roket milik China daripada Balai Polis Batu Niah.

Bertindak atas panggilan diterima, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah telah bergerak ke lokasi yang sejauh 33 kilometer (km).

"Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) yang lengkap berpakaian operasi dan menggunakan alat pernafasan di lokasi yang dinyatakan mendapati benar terdapat satu objek yang tidak dikenal pasti di sebuah kawasan kebun kelapa sawit yang terletak kira-kira 100 meter dari Rumah Ngadan, Sungai Kurong, Suai.

"Objek berwarna kelabu itu dijumpai terpacak ke dalam tanah dengan bahagian yang timbul setinggi satu kaki dari permukaan tanah," katanya.

Tiga anggota bomba meneliti satu objek dipercayai serpihan roket Long March 5B milik China yang didakwa dijumpai di sebuah kebun persendirian di kawasan Sungai Kurong, Suai pada Ahad.
Tiga anggota bomba meneliti satu objek dipercayai serpihan roket Long March 5B milik China yang didakwa dijumpai di sebuah kebun persendirian di kawasan Sungai Kurong, Suai pada Ahad.

Berikutan itu kata Nizam, PKO telah mengambil beberapa gambar objek untuk tindakan dan rujukan selanjutnya.

Sehubungan itu, penghuni rumah panjang berkenaan dinasihati agar tidak menghampiri kawasan objek tersebut buat sementara waktu.

Katanya, operasi kelmarin ditangguhkan sementara menunggu arahan selanjutnya daripada pihak yang berkaitan.

Difahamkan, objek dipercayai serpihan roket itu telah dijumpai sekitar jam 5.30 petang kelmarin oleh pemilik kebun dan kemudian memaklumkan penemuan tersebut kepada pihak polis.

Dalam pada itu, pihak Agensi Angkasa Malaysia (MYSA)  Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) juga telah dimaklumkan tentang penemuan terbaru itu.

Advertisement