Anda di sini

RM125 juta untuk penyeragaman harga di Sarawak

Advertisement
Ismail Sabri ketika melawat reruai pameran selepas merasmikan penutupan JAKM edisi Sarawak semalam. - Gambar Roystein Emmor
Ismail Sabri ketika melawat reruai pameran selepas merasmikan penutupan JAKM edisi Sarawak semalam. - Gambar Roystein Emmor

KUCHING: Sebanyak RM125 juta atau lebih 62 peratus daripada peruntukan keseluruhan RM200 juta untuk Program Penyeragaman Harga dilaksanakan di Sarawak tahun ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, program ini akan memberi manfaat kepada 500,000 penduduk Sarawak melibatkan 112 zon merangkumi 538 kawasan pengedaran.

“Ini bagi membolehkan penduduk di kawasan pedalaman atau luar bandar menikmati tujuh harga barangan keperluan asas pada harga yang sama di bandar.

“Barangan tersebut ialah gula putih, tepung gandum kegunaan am atau bukan kegunaan am, minyak masak sawit, beras putih, gas petroleum cecair (LPG), petrol RON95 dan diesel,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) edisi Sarawak di Dataran Perayaan, Petra Jaya di sini, semalam.

Hadir sama, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta tetamu kehormat yang lain

Ismail Sabri berkata, kerajaan menyedari perbezaan harga barangan yang ketara antara bandar dan pedalaman di enam negeri terutama di Sarawak.

“Maka itu, sebanyak RM200 juta diperuntukkan kerajaan pada tahun ini bagi melaksanakan Program Pengedaran Barang Perlu atau lebih dikenali sebagai Program Penyeragaman Harga,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan juga sentiasa mendengar rintihan Keluarga Malaysia berkaitan permasalahan bekalan elektrik. 

Untuk itu katanya, kerajaan telah membina stesen jana kuasa hidroelektrik ketiga di Sarawak iaitu projek Empangan Baleh di pedalaman Kapit yang dijangka siap pada 2025.

“Empangan berkapasiti 1,295 MegaWatt (MW) ini akan dapat menampung permintaan hidroelektrik di kawasan sekitar, selain turut mewujudkan 3,500 peluang pekerjaan setempat.

“Selain itu, kerajaan juga komited dalam menyelesaikan masalah banjir di negara ini dengan peruntukan sebanyak RM15 bilion bagi tempoh lapan tahun iaitu dari tahun 2023 hingga 2030 di bawah RMK12,” katanya.

Ini termasuk projek tebatan banjir di negeri ini untuk Rancangan Tebatan Banjir Sibu (Fasa 3) Lembangan Batang Rajang, tambah beliau.

Advertisement