Anda di sini

Pan Borneo letak Sarawak di landasan betul menuju negeri maju

Advertisement
Abang Johari memotong kek hari jadi sambil disaksikan Ismail Sabri dan tetamu kehormat lain pada majlis tersebut semalam.
Abang Johari memotong kek hari jadi sambil disaksikan Ismail Sabri dan tetamu kehormat lain pada majlis tersebut semalam.

MIRI: Dengan siap sepenuhnya Lebuh Raya Pan Borneo, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg percaya negeri ini berada di landasan yang betul dalam memastikan projek pembangunan infrastruktur yang diusahakan kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri siap demi kemudahan rakyat.  

Beliau berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Kementerian Kerja Raya di bawah Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof dalam merancang, melaksana dan memastikan projek tersebut berjalan lancar. 

"Dengan itu, Insya-Allah matlamat kita untuk menjadi negeri maju berpendapatan tinggi dengan sokongan daripada kerajaan persekutuan dapat direalisasikan," jelasnya ketika menghadiri Majlis Perasmian Seksyen Pujut bagi pakej kerja Sungai Tangap-Jalan Pujut Link (WPC11) projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak di sini, semalam. 

Menurut Abang Johari, projek turut menunaikan impian rakyat negeri ini memiliki laluan jalan raya bertaraf dunia. 

"Hari ini sudah nyata apa yang dijanjikan ditunaikan," jelasnya. 

Beliau berkata, selain kerap ke Sarawak Perdana Menteri mengetahui kehendak rakyat termasuk di luar bandar dan pedalaman. 

Di bawah kepimpinannya, Perdana Menteri juga berjaya mengukuhkan lagi kerjasama antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri begitu erat sekali.

"Saya yakin dengan adanya pendekatan sedemikian menerusi konsep Keluarga Malaysia, sudah tentu Keluarga Sarawak rasa begitu senang sekali untuk bersama-sama seluruh Keluarga Malaysia bagi kita memantapkan negara kita dan terus mempunyai pembangunan tertinggi di negeri Sarawak khasnya," jelas beliau.

Pada majlis itu, Ismail Sabri telah merasmikan pembukaan Seksyen Pujut yang dibina sepanjang 15.9 kilometer (km) di bawah Pakej Kontrak Kerja 11 (WPC11).

Skop pembangunan seksyen ini merangkumi pembinaan dua jejambat iaitu jejambat lapangan terbang Miri dan jejambat Pujut Link serta dua jambatan iaitu jambatan Sungai Adong dan Sungai Miri. 

Jejambat Pujut Link merupakan salah satu daripada empat jejambat iaitu Beluru, Bekenu dan Lapangan Terbang Miri yang dibina sepanjang 605 meter. 

Dua lagi seksyen di bawah pakej ini ialah Seksyen Beluru dan Seksyen Lambir yang masih dalam proses pembinaan. 

Anggaran kos keseluruhan projek pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo di bawah Seksyen Pujut adalah RM470 juta. 

Seksyen Pujut dibina 1 November 2016 dan siap pada 2 Julai lalu. 

Projek di bawah kerajaan persekutuan ini mampu menyuraikan trafik dari Lapangan Terbang Miri ke Kuala Baram yang memberi kemudahan kepada penduduk sekitar Emart Riam, Miri Sentral sehingga Permyjaya untuk bergerak dengan selesa dan selamat. 

Advertisement