Anda di sini

Liverpool mulakan musim baharu EPL dengan satu mata

Advertisement
Sebahagian daripada babak-babak aksi perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara Fulham dan Liverpool di Craven Cottage di London. — Gambar AFP
Sebahagian daripada babak-babak aksi perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara Fulham dan Liverpool di Craven Cottage di London. — Gambar AFP

MANCHESTER: Liverpool memulakan cabaran memburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris dengan agak hambar apabila diikat 2-2 oleh pendatang baharu liga, Fulham sementara Tottenham Hotspur menunjukkan perhatian dalam persediaan pramusim bukan harapan kosong apabila membelasah Southampton 4-1 pada Sabtu.

Chelsea juga memulakan musim baharu dengan kemenangan apabila penalti Jorginho memastikan kemenangan 1-0 di Everton.

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mengakui keputusan terbaik dari pasukannya ialah bangkit dua kali dari ketinggalan di Craven Cottage.

Aleksandar Mirtovic mengekalkan prestasi cemerlangnya dari musim lepas dalam Liga Kejuaraan apabila mengatasi Trent Alexander-Arnold untuk menanduk gol pembukaan Fulham dalam separuh masa pertama.

Pengenalan Darwin Nunez dalam separuh masa kedua mengembalikan keyakinan Liverpool dan penyerang antarabangsa Uruguay itu menjaringkan gol pertamanya dalam Liga Perdana Inggeris sejak perpindahan bernilai 75  juta euro dari Benfica untuk mengikat kedudukan.

Mitrovic meletakkan Fulham kembali di hadapan dari tendangan penalti selepas dia dijatuhkan oleh Virgil van Dijk dalam kotak penalti.

Namun Mohamed Salah memastikan Liverpool sekurang-kurangnya memulakan musim dengan mengelak kekalahan apabila menjaringkan gol penyamaan kedua.

“Kami bermula tidak seperti apa yang kami mahukan,” kata Klopp.

“Kami biasa menguasai bola dan kami gagal melakukannya kerana kami tidak bermain dengan cukup bagus, tidak cukup pantas dan hantaran tidak cukup tepat.”

Berbeza dengan Tottenham, mereka memulakan musim dengan memberangsangkan ketika mengintai harapan memburu kejuaraan liga yang pertama dalam tempoh 61 tahun.

Spurs bagaimanapun ketinggalan menerusi gol James Ward-Prowse dari hujung kotak penalti pada minit ke-12 tetapi reaksi balas anak buah Antonio Conte cukup berbisa.

Gol yang mengubah permainan bagaimanapun datang dari sumber  yang tidak diduga apabila Ryan Sessegnon dan Eric Dier meletakkan Spurs 2-1 di hadapan sebelum Mohammed Salisu tertolak bola ke pintu gol sendiri untuk memastikan Spurs mendahului 3-1 pada masa rehat.

Dejan Kulusevski melengkapkan jaringan dan kemenangan bergaya itu meletakkan Spurs di tangga teratas liga, di hadapan Arsenal dengan perbezaan gol.

Chelsea bermain agak hambar di Goodison Park tetapi melakukan yang secukupnya untuk memulakan musim dengan kemenangan apabila menentang pasukan Everton yang jelas tumpul di jentera serangan dengan ketiadaan penyerang utama, Dominic Calvert-Lewin yang mengalami kecederaan.
Tidak seperti dalam penentuan sepak penalti di Euro 2020, Jorginho menewaskan Jordan Pickford untuk gol kemenangan Chelsea pada minit kecederaan separuh masa pertama.

Newcastle mungkin tidak membuat pembelian nama-nama besar seperti dijangkakan dalam pasaran perpindahan tetapi mereka memulakan musim baharu dengan menewaskan pendatang baharu, Nottingham Forest 2-0.

Forest berbelanja lebih  banyak berbanding Newcastle dalam pasaran perpindahan dengan 12 pemain baharu tetapi diberikan pengajaran sebenar tentang kualiti dalam Liga Perdana oleh Newcastle di St James’ Park.

Fabian Schar membuka jaringan sebelum Callum Wilson mengesahkan tiga mata penuh.

Pada perlawanan lain, Bournemouth juga memulakan musim dengan kemenangan apabila menewaskan Aston Villa 2-0 menerusi gol Jefferson Lerma dan Kieffer Moore.

Leeds bergelut dengan perpindahan Kalvin Phillips dan Raphinha pada musim panas ketika menewaskan Wolves 2-1 di Elland Road.

Daniel Podence meletakkan Wolves pada awal permainan sebelum anak buah Jesse Marsch bangkit bergaya.

Rodrigo mengikat kedudukan buat Leeds sebelum gol sendiri Rayan Ait-Nouri memberikan kemenangan buat Leeds. — AFP

Advertisement