Anda di sini

Detik manis buat Elaine dan Kiplimo  

Advertisement
Elaine bergambar dengan bendera negaranya selepas memenangi emas acara pecut 200 meter. — Gambar AFP
Elaine bergambar dengan bendera negaranya selepas memenangi emas acara pecut 200 meter. — Gambar AFP

BIRMINGHAM: Jaguh pecut dari Jamaica, Elaine Thompson-Herah dan pelari jarak jauh, Jacob Kiplimo dari Uganda, mengesahkan kejuaraan berganda dalam acara olahraga di Sukan Komanwel apabila masing-masing memenangi acara 200 meter dan 5,000 meter pada Sabtu.

Thompson-Herah menjadikan kemenangan berganda acara pecut sebagai acara istimewa buatnya – selepas turut memenangi dua emas acara pecut di Sukan Olimpik – dan melakukannya dengan  bergaya di sini apabila mencipta rekod baharu Sukan Komanwel dengan catatan masa 22.02 saat dalam acara 200 meter.

“Saya memburu rekod Komanwel dalam acara 100 meter dan ia tidak berlaku, jadi saya fikir saya harus mencuba dalam 200 meter,” kata Thompson-Herah.

“Saya harus berkata saya sangat gembira memenangi emas hari ini dan juga pada hari kami menyambut Hari Kemerdekaan di Jamaica.”

Kiplimo menyamai pencapaian rakan senegaranya, Joshua Cheptegei pada 2018 apabila memenangi dua kejuaraan dalam acara jarak jauh apabila memenangi acara 5,000 meter dengan masa 13 minit 08.08 saat.

Ketika dia meraikan kemenangannya, sorakan terbesar kedengaran untuk atlet Kepulauan Solomon, Rosefelo Siosi apabila melengkapkan perlumbaan dengan lebih empat minit selepas Kiplimo menamatkan perlumbaannya.

“Ia adalah prestasi hebat dari saya,” kata Kiplimo. “Saya mempunyai dua (pingat emas) dan saya berasa sangat gembira.”

Kiplimo meraikan kejayaannya memenangi pingat emas dalam acara 5,000 meter. — Gambar AFP
Kiplimo meraikan kejayaannya memenangi pingat emas dalam acara 5,000 meter. — Gambar AFP

Sebelum itu, Oliver Hoare menjadi atlet Australia pertama memenangi acara 1,500 meter dengan masa 3 minit 30.12 saat untuk mengatasi rekod kejohanan yang dipegang Filbert Bayi sejak 1974.

Atlet berusia 25 tahun itu melakukan larian sempurna pada 100 meter terakhir untuk memintas juara dunia, Jake Wightman dan kemudian juara dunia 2019, Timothy Cheruiyot.

Kemenangan Hoare adalah salah satu dari tiga emas Australia dalam acara olahraga.
Jereem Richards dari Trinidad-Tobago, menyemarakkan sesi sebelah malam apabila berjaya mempertahankan acara 200 meter dengan catatan 19.80 saat untuk mengatasi rekod Frankie Fredericks pada 1994 (19.97 saat).

Dalam acara lain, Kurtis Marschall juga mempertahankan kejuaraan lompat galah lelaki sementara Jemima Montag memenangi acara 10,000 meter jalan kaki wanita, menambah koleksi kemenangan dalam acara 20 km pada 2018.

Atlet Kenya mungkin menduduki tempat kedua di belakang Kiplimo tetapi mereka masih memenangi dua lagi pingat emas apabila Abraham Kibiwot memenangi acara 3,000 meter lari berhalangan lelaki adn Mary Moraa memenangi acara 800  meter wanita.

Ia adalah cerita yang sama dalam acara 400 meter untuk  lelaki dan wanita apabila Janieve Russel dari Jamaica untuk acara wanita dan Kyron McMaster dari Virgin Island mempertahankan kejuaraan mereka.

Bagi kedua-dua atlet ini, ia adalah saat  yang hebat pada musim yang diselubungi kecederaan.

“Ia kelihatan hebat dan menarik,” kata Mcmaster selepas menjadi juara dua kali Sukan Komanwel.

“Sebagai atlet, anda sentiasa  mahu mengulangi kejayaan anda.” — AFP 

Advertisement