Anda di sini

Sarawak namakan Setiausaha Kewangan Negeri sebagai wakil dalam LHDN 

Advertisement
 

KUCHING: Tuntutan Sarawak untuk mempunyai wakil sebagai ahli Lembaga Pengarah dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sudah hampir selesai. 

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia kecuali pemilihan personaliti yang bakal mewakili Sarawak dalam perkara tersebut. 

Abang Johari berkata, pihak LHDN memaklumkan bahawa ahli Lembaga Pengarah daripada pihak kerajaan sudah mencukupi dan mereka meminta wakil daripada bukan kerajaan.

“Namun pendirian Sarawak adalah tetap kerana mahukan wakil daripada kerajaan dan kita menamakan Setiausaha Kewangan Negeri untuk mewakili Sarawak sebagai ahli Lembaga Pengarah LHDN.

“(Dan) ini akan dikaji dan dilihat dari sudut undang-undang oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang mana, beliau akan memberikan pandangan terhadap kerajaan persekutuan berkaitan perkara tersebut,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini, semalam.

Terdahulu pada 2 Ogos lalu, Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) pada Persidangan Dewan Rakyat berkata masih meneliti aspek-aspek perundangan berkaitan perwakilan anggota sebagai ahli Lembaga Pengarah LHDN.

Menterinya, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, aspek perundangan itu adalah berkaitan penimbangan cadangan pelantikan wakil yang berasal dari Sarawak dan Sabah dalam lembaga tersebut.

Sementara itu pada Mei lalu, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, kerajaan Sarawak masih belum menerima maklum balas mengenai calon yang dicadangkan menjadi wakilnya. 

Menurutnya, tuntutuan itu penting bagi memastikan Kerajaan Sarawak mengetahui kedudukan kewangan negara dan membantu usaha perbincangan dan rundingan berkenaan pemberian khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

Sharifah Hasidah berkata, cadangan keahlian dalam Lembaga Pengarah LHDN merupakan antara tuntutan kerajaan negeri menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang masih lagi dalam perbincangan dengan kerajaan persekutuan.

Advertisement