Anda di sini

RUU lompat parti, Sarawak kaji semula Perlembagaan Negeri 

Advertisement
Abang Johari pada sidang media, semalam.
Abang Johari pada sidang media, semalam.

KUCHING: Sarawak akan mengkaji semula Perlembagaan Negeri berhubung Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan larangan bertukar parti untuk diselarikan dengan Perlembagaan Persekutuan. 

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia susulan negeri ini sudah mempunyai undang-undang lompat parti sendiri di dalam Artikel 17 Perlembagaan Sarawak.

“Namun, peruntukan tersebut tidak dapat kita laksanakan kerana dahulu ia bercanggah dengan Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan.

“Justeru, kita akan mengkaji semula Artikel 17 sedia ada supaya jika ada kekurangan ia akan dipinda dan diperbaiki supaya selari dengan apa yang ada di dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi PBB di sini, semalam.

Abang Johari yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, Sarawak merupakan negeri pertama yang mempunyai peruntukan berhubung perkara tersebut.

Sehubungan itu, beliau akan meminta Peguam Besar Negeri untuk membuat kajian dan memberikan saranan yang bersesuai yang kemudian peruntukan dipinda mengikut kesesuaian.

“Bermakna objektif kita adalah selari dengan kerajaan persekutuan dan sudah tentu Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyokong penuh RUU tersebut,” jelasnya.

Dalam pada itu, Abang Johari berkata, peruntukan pindaan tersebut tidak akan dibawa pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan datang. 

“Kita akan pindanya mengikut kesesuaian,” jawabnya. 

Terdahulu, RUU lompat parti diluluskan sebulat suara di Dewan Rakyat pada 28 Julai lalu memperuntukkan sekiranya seorang Ahli Dewan Rakyat mempunyai prinsip bertentangan dengan parti dan menyebabkan keahliannya digugurkan berdasarkan perlembagaan parti tersebut, maka individu itu boleh dianggap telah bertukar parti dan perlu mengosongkan kerusinya.

Advertisement