Anda di sini

PRU15: PBB sudah bersedia, tubuh jawatankuasa khas selaras jentera

Advertisement
Abang Johari pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi PBB semalam.
Abang Johari pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi PBB semalam.

KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bakal menubuhkan sebuah jawatankuasa khas sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang juga Presiden PBB 

berkata, jawatankuasa itu akan diketuai oleh Timbalan Presiden PBB Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Uggah katanya, akan dibantu beberapa pemimpin lain bagi menyusun jentera bagi menghadapi pilihan raya itu.

“Kita (PBB) sentiasa bersiap sedia menghadapi pilihan raya dan bersama rakan-rakan komponen dalam GPS, kita akan melengkapkan jentera kita untuk menghadapinya. 

“Ini adalah pilihan raya umum pertama untuk GPS kerana sebelum ini, kita bertanding menggunakan tiket Barisan Nasional (BN),” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi PBB di Ibu Pejabat PBB, Jalan Bako di sini, semalam.

Abang Johari yang juga Pengerusi GPS menegaskan, GPS akan meletakkan calon di kesemua 31 kerusi Parlimen di Sarawak pada PRU15 nanti.

Sementara itu, Abang Johari memaklumkan terdapat beberapa Ahli Parlimen dari PBB yang menyatakan hasrat untuk tidak mempertahankan kerusi mereka PRU akan datang.

“Sehubungan itu, saya mengucapkan terima kasih kepada penyandang kerusi Parlimen sedia ada kerana sudi melepaskan kerusi masing-masing bagi memberi laluan kepada golongan muda untuk menjadi pemimpin. Ini adalah budaya kita dalam PBB,” katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut nama Ahli-Ahli Parlimen yang bersedia untuk mengundur diri pada PRU15. 

Untuk rekod, PBB mempunyai 13 Ahli Parlimen yang terdiri daripada Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Santubong), Datuk Seri Fadillah Yusof (Petra Jaya), Datuk Rubiah Wang (Kota Samarahan), Datuk Seri Nancy Shukri (Batang Sadong), Datuk Rohani Abdul Karim (Batang Lupar) dan Datuk Robert Lawson Chuat (Betong).

Selain itu, PBB juga juga mempunyai Ahli Parlimen di Tanjung Manis diwakili Yusuf Abdul Wahab, Ahmad Johnie Zawawi (Igan), Datuk Hanifah Hajar Taib (Mukah), Dato Sri Alexander Nanta Linggi (Kapit), Lukanisman Awang Sauni (Sibuti), Datuk Hasbi Habibollah (Limbang) dan Datuk Henry Sum Agong (Lawas).

Advertisement