Anda di sini

Pelajari dan pelihara budaya dan adat resam

Advertisement

Banyak ilmu budaya, adat resam perlu dipelajari kerana Kedayan terkenal dengan kekayaan budaya nenek moyang mereka

Dr Abdul Rahman (empat kiri) dan Rosey (enam kiri) bersama tetamu lain menunjukkan cara ‘menuhuu’ (menjalin) atap yang menjadi budaya kaum Kedayan.
Dr Abdul Rahman (empat kiri) dan Rosey (enam kiri) bersama tetamu lain menunjukkan cara ‘menuhuu’ (menjalin) atap yang menjadi budaya kaum Kedayan.

“Adat resam ini perlu dipelajari kerana sudah semakin dilupakan terutama dalam kalangan anak-anak muda.” 

Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan
Timbalan Premier Sarawak 

Oleh Mastura Ismail

LIMBANG: Golongan muda Kedayan perlu mempelajari sekali gus memelihara budaya dan adat resam mereka agar tidak pupus ekoran peredaran zaman.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, banyak ilmu tentang budaya dan adat resam yang perlu dipelajari kerana kaum Kedayan terkenal dengan kekayaan budaya nenek moyang mereka.

“Adat resam ini perlu dipelajari kerana sudah semakin dilupakan terutama dalam kalangan anak-anak muda.

“Jarang sekali kita melihat anak-anak muda ikut serta dalam apa jua penglibatan makan tahun berbanding orang dewasa dari segi masakan, adat resam perkahwinan dan sebagainya,” katanya pada Majlis Perasmian Makan Tahun Perdana 2022 di Kampung Sayung di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Rosey Yunus.

Turut hadir Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Timbalan Residen Bahagian Jamalie Busri, Pengerusi Persatuan Kedayan Daerah Limbang Penghulu Sahat Bagol, Pemanca Abu Tinggal, Penghulu Latip Tujoh dan Ketua Kampung Sayung Yaman Mumin.

Awang Tengah berkata lagi, Program Makan Tahun Perdana dapat memupuk minat anak muda untuk terlibat dalam program berbentuk kebudayaan dan adat resam.

“Saya menyeru anak-anak muda agar terus belajar dan tidak melupakan budaya dan adat resam masyarakat kita iaitu Kedayan,” ujarnya.

Menambah lanjut katanya, makan tahun dilaksanakan selepas menuai atau mengetam padi.

“Masyarakat kita sudah kurang terlibat dalam aktiviti pertanian yang berasaskan padi.

"Perubahan demi perubahan yang berlaku dalam kehidupan secara tidak langsung telah mengikis sedikit demi sedikit budaya dan adat resam masyarakat itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata, atas dasar itulah kerajaan menggalakkan agar setiap masyarakat yang ada di negeri ini menghidupkan semula keunikan dalam kepelbagaian etnik mereka.

Pada majlis itu, Rosey turut mengumumkan peruntukan geran kerajaan RM10,000 kepada PKL.

Advertisement