Anda di sini

Manfaatkan peluang pendidikan MARA: Azizah

Advertisement
 Azizah (dua kiri) menyampaikan anugerah kepada salah seorang pelajar cemerlang yang diraikan sempena majlis itu.
SAMPAIKAN: Azizah (dua kiri) menyampaikan anugerah kepada salah seorang pelajar cemerlang yang diraikan sempena majlis itu.



BEAUFORT: Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Seri Panglima Azizah Mohd Dun menggesa para pelajar khususnya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) supaya memanfaatkan peluang pendidikan yang tersedia di dalam ekosistem MARA.


Jelas beliau, peluang pendidikan dalam ekosistem MARA amat luas dan kebolehpasaran graduan juga amat tinggi, yang jelas menunjukkan indikasi yang cukup meyakinkan bahawa MARA menyediakan peluang pendidikan yang amat baik untuk para pelajar lepasan SPM.


Justeru katanya, para pelajar lepasan SPM khususnya di negeri ini wajar memanfaatkan peluang pendidikan yang disediakan bagi meningkatkan taraf kehidupan demi masa depan yang lebih terjamin.


"Baru-baru ini MARA telah mengadakan satu majlis bersama para pelajar yang mendapat tajaan daripada MARA dalam pelbagai bidang serta peringkat pengajian ke luar negara. Lebih 1,246 pelajar mendapat tajaan dan daripada jumlah itu tidak sampai 10 pelajar adalah dari Sabah, dan saya harap lebih ramai anak-anak Sabah mengambil peluang ini.

"Para pelajar yang mendapat keputusan cemerlang boleh cuba lihat peluang-peluang dalam pendidikan MARA, dan pohon lah. Selain di luar negara, MARA juga mempunyai peluang pendidikan profesional serta teknikal dan vokasional seperti di Institusi Kemahiran MARA (IKM), Kolej Profesional MARA (KPM) dan di Universiti Kuala Lumpur (UniKL), " katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Pelajar SPM Parlimen Beaufort di salah sebuah hotel dekat sini, hari ini.


Dalam pada itu, Azizah yang juga Ahli Parlimen Beaufort turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak khususnya golongan warga pendidik atas sumbangan serta khidmat bakti yang dicurahkan kepada para pelajar di daerah itu selama ini.


Katanya bimbingan dan didikan para pendidik akhirnya telah menunjukkan perkembangan yang sangat baik sehingga berjaya melahirkan ramai pelajar cemerlang yang dilihat berupaya menyumbang kepada pembangunan di daerah itu.


"Syabas dan tahniah kepada para guru atas semangat dalam mendidik anak-anak walaupun berdepan dengan situasi mencabar sebelum ini akibat pandemik. Namun hasil gigih anda semua telah menunjukkan perkembangan yang positif dan saya harap ianya akan berterusan.


"Mudahan majlis yang diadakan ini bukan sahaja akan memberi suntikan semangat kepada warga pendidik tetapi juga para pelajar untuk terus meraih keputusan cemerlang di masa hadapan, " katanya.

  • oleh
  • Advertisement